Himpunan solidariti untuk Mazlan berlangsung dengan pantauan polis

Himpunan solidariti untuk Mazlan berlangsung dengan pantauan polis

Himpunan solidariti untuk Mazlan Aliman berlangsung di hadapan Lokap Bersekutu Jinjang bermula jam 9.30 malam tadi bagi menyatakan sokongan kepada Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang ditahan reman di situ.

Himpunan anjuran Pemuda Pakatan Harapan itu dihadiri para pemimpin AMANAH dan Pakatan Harapan.

Para pemimpin yang hadir mengambil giliran berucap menyatakan sokongan terhadap Mazlan dengan dimoderatorkan pengarah Mobilisasi Pemuda PH Shazni Munir Mohd Ithnin.

Sekumpulan anggota polis turut dilihat hadir memantau keadaan.

Petang semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur meluluskan reman selama 5 hari ke atas Mazlan sehingga 25 Mac ini.

Peguam beliau, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata Mazlan ditahan di Balai Polis Jinjang selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta untuk permohonan reman.

Beliau berkata Mazlan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan ke atas Mazlan berhubung video di Facebook sebelum ini. Beliau dibawa dari Ibu Pejabat Polis Derah Kulai, Johor dan tiba di mahkamah 3.30 petang tadi (semalam), dan selepas mendapat kebenaran reman, Mazlan dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang,” lapor FMT.

Polis menahan Mazlan awal pagi Khamis semalam ekoran laporan polis dibuat peguam isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Isnin.

Ia berkaitan ucapan Mazlan yang mendakwa Rosmah terlibat dalam projek penternakan ikan sturgeon yang gagal dilaksanakan selepas memakan belanja berjuta ringgit oleh Felda.

Projek itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu dan beberapa pegawai tinggi Felda termasuk bekas pengarah besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dan bekas timbalan pengarah besar (Pengurusan Sumber Strategik) Felda, Muhammad Sufi Mahbub kini didakwa di mahkamah.

Mazlan di satu program ceramah mendakwa diberitahu seorang pegawai Felda yang ditahan SPRM bahawa projek itu mendapat ‘restu’ perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Rosmah menasihatkan pegawai Felda cara menggerakkan projek terbabit.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya untuk kesalahan memfitnah.

Sementara Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya untuk kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

3.0
OVERALL SCORE
: 3.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS