Himpunan #TangkapPencuri bakal berlangsung petang ini

Himpunan #TangkapPencuri bakal berlangsung petang ini

Himpunan #TangkapPencuri bakal berlangsung di hadapan gedung beli-belah Sogo di ibu negara, petang ini.

Aksi massa dipelopori anak muda itu menyaksikan protes terhadap rompakan dana negara ketika rakyat Malaysia lagi 25 hari akan membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jurucakap himpunan, Shazni Munir Ithnin berkata, himpunan tersebut akan cuba dipastikan berjalan aman dan tertib tanpa provokasi luar.

“Dalam tempo reformasi yang semakin deras, kita memerlukan aksi jalan raya yang ampuh agar pencuri tidak terus mencuri.

“Persempadanan semula pilihan raya yang tidak adil, penetapan hari bekerja sebagai hari membuang undi, rompakan khazanah negara mencecah berbilion ringgit, ini hanya senarai pendek jenayah sang pencuri,” katanya dalam satu kenyataan.

Shazni Munir Ithnin

Himpunan tersebut melibatkan penyertaan semua pihak yang mahu menyelamatkan Malaysia termasuk perompak yang masih tidak dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan Umno-BN sebelum ini.

“Sebesar mana pun pengaruh penyangak yang terus mencuri wang dan hak demokrasi rakyat, kuasa rakyat tidak akan sesekali mengizinkan ia terus merajalela.

“Kita mengyakini bahawa kemenangan akhirnya milik rakyat. Lawan penipuan dan #TangkapPencuri,” tegas Shazni lagi yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Himpunan anjuran Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL) itu menuntut supaya hartawan kontroversi, Jho Low yang didakwa rapat dengan keluarga Pengerusi BN, Najib Razak diheret ke mahkamah.

Individu yang masih bersembunyi itu dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) selain seorang lagi dikenali sebagai Malaysian Official 1 (MO1).

Mereka antara individu yang terpalit dengan skandal kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terbabit menyeleweng berbilion dolar dana 1MDB, kapal persiaran mewah yang didakwa dimiliki Jho Low telah dirampas pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Bali pada 27 Februari lalu.

Rampasan kapal yang didakwa mencecah AS$250 juta (RM978 juta) menjadi bukti penting wujudnya jenayah pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Jho Low.

3.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 6.0