Himpunan terbesar umat Islam sedunia  di Tonggi, Bangladesh

Himpunan terbesar umat Islam sedunia di Tonggi, Bangladesh

Lebih tiga juta ahli jemaah Tabligh dari seluruh pelosok dunia membanjiri lembah Tonggi dekat wilayah Dakka, Bangladesh bagi menghadiri ijtimak tahunan antarabangsa yang bermula hari ini.

Perhimpunan raksasa yang berlangsung hingga 15 Januari ini akan disusuli dengan himpunan kedua pada 20 hingga 22 Jan yang bakal dihadiri warga tempatan Bangladesh.

Ghazali di khemah menempatkan jemaah daripada Malaysia.Seorang peserta ijtimak dari Malaysia Ghazali Mat Isa, 52, berkata, cuaca sejuk dari 16 darjah hingga 20 darjah selsius dan keadaan yang berkabus serta berdebu tidak menghalang kehadiran lebih tiga juta peserta dari 120 negara termasuk Malaysia.

“Ada juga artis-artis dari Malaysia yang hadir seperti dR Sam, Ali XPDC dan Zul Handyblack serta yang lain-lain termasuk artis-artis yang telah memilih jalan yang lurus agama Islam dan berdakwah,” katanya kepada Malaysia Dateline melalui WhatsApp.

Suasana di dalam khemah peserta rantau Asia Tenggara sepanjang satu kilometer.

Anggota jemaah Tabligh yang hadir daripada rantau Asia Tenggara adalah dari Malaysia, Thailand, Filipina, Kemboja dan Vietnam.

Kumpulan jemaah Tabligh dari rantau Asia Tengah seperti Uzbekistan, Kyrgistan, Kazakstan dan Russia, benua Eropah, rantau Timur Tengah dan China turut serta.

“Tujuan hanya satu untuk kembalikan umat ini menegakkan agama dari diri dan umat ini seperti ditinggalkan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabat,” ujar Ghazali.

Menurutnya, selepas berhimpun para jemaah yang hadir akan membentuk 10,000 jemaah untuk berdakwah ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pada hari terakhir ijtimak, doa akan diadakan dan dipancarkan ke seluruh Bangladesh.

Pada hari ini juga, ijtimak akan dihadiri para pembesar negara termasuk Presiden Bangladesh dan diisytiharkan sebagai cuti umum.

Di sepanjang ijtimak berlangsung, para peserta antarabangsa disediakan pelbagai kemudahan asas seperti khemah penginapan, makanan dan tandas dengan bekalan air panas.

Khemah peserta ijtimak dari Russia dilengkapi kelambu.

Perbezaan ketara pada ijtimak kali ini, ujar Ghazali adalah kereta persendirian yang banyak digunakan jemaah Tabligh tempatan berbanding beca pada dekad 90-an.

Ini katanya, menunjukkan ekonomi Bangladesh yang semakin berkembang dan taraf hidup rakyat yang meningkat.

“Semua perbelanjaan makan minum disediakan… cuma datang beli tiket kapal terbang,” katanya.

Jemaah Tabligh adalah gerakan transnasional dakwah Islam yang diasaskan pada 1926 oleh Muhammad Ilyas di India.

Kelompok pendakwah ini bergerak mulai dari kalangan bawah, kemudian merangkul seluruh masyarakat muslim tanpa memandang tingkatan sosial dan ekonominya dalam mendekatkan diri kepada ajaran Islam sebagaimana yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w..

Suasana di tapak ijtimak.

TAGS