Malaysia Dateline

Himpunan tuntut Undi 18 depan Parlimen petang ini

Satu himpunan untuk menuntut kerajaan melaksanakan undi 18 dijangka akan diadakan di perkarangan Parlimen petang ini. Parien

Menerusi hantaran Facebook Pemuda AMANAH Nasional, himpunan berkenaan dijadual berlangsung pada jam 2 petang yang turut mengajak semua pihak termasuk organisasi badan bukan kerajaan untuk menyertai bantahan mereka.

Himpunan berkenaan dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18

Himpunan Tuntut Undi 18

Sementara itu, Persatuan Pengundi Muda dalam satu kenyataannya di Facebook berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh lagi melengahkan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 tahun.

Tegasnya, jika SPR memerlukan masa tambahan untuk pelaksanaan sistem pendaftaran pengundian secara automatik, maka penurunan umur mengundi harus dilaksanakan serta merta demi memberi peluang kepada anak muda untuk mendaftar sebagai pengundi.

Kumpulan itu juga mendesak agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen beliau terhadap pelaksanaan Undi 18 mengikut garis masa yang telah ditentukan di Kabinet, dan juga telah diundi oleh beliau selaku Ahli Parlimen Pagoh.

Pada semalam, keputusan SPR untuk menangguhkan pelaksanaan undi 18 mencetus kemarahan dan kecaman pelbagai pihak yang beranggapan alasan kepada tindakan tersebut sebagai tidak masuk akal.

Penggerak utama yang membawa usul penurunan had kelayakan mengundi, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengkritik tindakan berkenaan dan memberi amaran kepada kerajaan bahawa tindakan mereka ini akan dihukum pengundi muda yang lain dalam pilihanraya akan datang.

Untuk rekod, usul Undi 18 mendapat sokongan dua per tiga sokongan Ahli Dewan Rakyat dengan seramai 211 menyokong dan tiada ahli Parlimen yang menolaknya.

SPR juga sebelum ini telah memberi jaminan bahawa penguatkuasaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.