Malaysia Dateline

Hina agama tidak boleh dikompromi, kenakan tindakan tegas sebagai pengajaran

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan perbuatan menghina agama tidak boleh dikompromi sebaliknya perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya sangat kesal dan menyatakan bantahan keras terhadap individu yang menghina kesucian agama Islam secara nyata dalam suatu program yang dikongsi menerusi Facebook.

“Dia seorang perempuan yang mengaku Melayu Muslim, mengaku menghafal 15 juzuk al- Quran, kemudian membuka pakaiannya dengan tinggal pakaian yang sangat menjolok mata.

“Kelakuan ini sangat biadab dan tidak boleh diterima,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tular video 54 saat menunjukkan seorang wanita mulanya tampil berpakaian sopan dalam satu persembahan di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Dalam video itu, wanita berkenaan mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyatakan sedang menyiasat kejadian video yang tersebar menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam dengan denda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi mempersoal tujuan aksi di kelab komedi, Crackhouse Comedy Club (CH) itu dan menuntut siasatan dilakukan.

“Apakah tujuan dia berbuat demikian? Adakah majlis itu sendiri merencana untuk sengaja membuat pendedahan itu? Ia perlu disiasat.

“Tingkah laku biadab itu ditular dalam FB tetapi tidak menunjuk gelagat sehingga selesai penampilan perempuan tersebut,” ujarnya.

Beliau menegaskan wanita berkenaan jelas kelihatan telah melanggar peraturan agama dan enakmen agama Islam negeri yang sedia ada.

“Kami berpendapat perbuatannya telah dengan sengaja mencemar imej agama Islam dan tindakan tegas perlu diambil.

“Masyarakat perlu memahami kelakuan menghina agama tidak boleh dikompromi dan perlu diambil tindakan tegas sebagai pengajaran.

“Kami merasa sangat kesal jika umat Islam marah kepada orang bukan Islam menghina Islam, apatah lagi oleh orang Islam sendiri, kerana fitnahnya terlalu besar,” tambah Mohd Azmi lagi.

Sementara itu, pengurusan kelab komedi itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu terbabit.

Dalam satu kenyataan semalam, CH memaklumkan selepas berlaku persembahan berkenaan, individu itu dilarang daripada kembali ke kelab komedi itu lagi.

Menurutnya, laporan polis mengenai insiden itu juga dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail.