Laporan polis terhadap Dd Chronicle yang mempersendakan agama dan menghina mahkamah akan tetap diteruskan meskipun pempengaruh media sosial itu telah membuat permohonan maaf.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Jelas Hasbie, tindakan Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e itu tidak akan dapat mempengaruhi keputusan Pemuda Amanah untuk membuat laporan polis terhadapnya.
“Permohonan maaf diterima. Tetapi laporan polis tetap diteruskan,” tegas Hasbie menerusi satu hantaran yang dimuat naik olehnya pada Rabu sebagai maklum balas kepada kenyataan Dd Chronicle.
Terdahulu, Dediy memuat naik satu rakaman parodi yang didakwa mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan, baru-baru ini.
Dalam video tersebut, pempengaruh yang berusia 43 tahun itu dipercayai membuat parodi mengenai penjatuhan hukuman dengan membuka satu kaunter pandu lalu khusus untuk pengakuan jenayah mahkamah sivil.
Menyebarkan maklumat yang salah, Dediy berkata meminum arak tidak salah di sisi undang-undang walaupun pelaku beragama Islam asalkan ia tidak menyebabkan kecederaan atau kematian mana-mana pihak.
Walhal, 16 kesalahan yang dibatalkan termasuk meminum arak di bawah Enakmen Syariah Kelantan itu sudah wujud di dalam Kanun Keseksaan dan masih boleh didakwa di mahkamah.
Dediy yang menyedari kesilapannya itu kemudian membuat permohonan maaf dan mengaku terlepas pandang kerana tidak berhati-hati dalam memeriksa fakta sebelum memuat naik video parodi tersebut.
Pencipta kandungan di platform Youtube itu turut mengambil keputusan untuk memadam rakaman tersebut dengan atas alasan dasar hormat kepada undang-undang negara.
Mengulas lanjut, Dediy memaklumkan bahawa dirinya bersikap terbuka dan bersedia menerima sebarang tindakan sekiranya laporan itu dilakukan atas dasar menjaga agama dan perlembagaan.
“Untuk Pemuda Amanah, anda memang ‘steady’ kerana cakna dengan isu agama dan undang-undang. Sama dengan saya juga, tetapi hanya cara kita yang berbeza.
“Kali ini ada kesilapan daripada pihak saya. Sebenarnya elok juga buat begini sebab saya pun manusia bukan selalu betul dan kena ada yang mengingatkan.” Akui Dediy.
Sebelum ini, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memaklumkan pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Dd Chronicle secara serentak di seluruh Malaysia pada Jumaat ini, kira-kira pukul 3 petang.
Baca juga: PAS persoal mana wakil negeri dalam MKI, netizen tunjuk bukti muka MB Kelantan dalam gambar MKI