Malaysia Dateline

Hina Nabi: Adun Meru cadang Dun Selangor rangka undang-undang

Dewan Undangan Negeri (Dun)  Selangor digesa  merangka undang-undang bagi memelihara kemuliaan agama Islam di negeri ini termasuk memastikan pelaku jenayah serta penghina agama Islam  tidak mudah terlepas dengan hukuman ringan sahaja, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

“Hukuman itu juga adalah mesej menunjukkan negeri Selangor adalah bumi untuk golongan yang mahu menjaga sensitiviti kaum dan agama.

“Ia juga sebagai penegasan oleh Kerajaan Selangor untuk tidak menerima golongan pembenci dan penghina agama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan seorang lelaki menerusi akaun Facebook yang memuat naik karikatur menghina Nabi Muhammad SAW serta isteri Saidatina Aishah baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas berhubung tuduhan ke atas kerajaan PH yang kononnya dikatakan tidak tegas serta membiarkan para penghina agama ini berleluasa, Mohd Fakrulrazi berkata ia adalah tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata, kemunculan golongan-golongan penghina agama pada ketika kerajaan PH memerintah adalah satu ujian, namun perkara sama juga berlaku pada era pemerintahan BN dahulu.

“Ia bukan isu politik yang boleh digunakan oleh parti politik untuk menjulang parti mereka, sebaliknya ia adalah isu agama dan isu masyarakat yang mesti ditanggapi bersama.

“Tidak timbul ia muncul di zaman pemerintahan kerajaan PH, maka kerajaan ini dianggap mesra golongan penghina agama atau sengaja melahirkan golongan ini. Sama ada ia dilakukan di bawah kerajaan PH mahupun pembangkang, golongan penghina agama sama sekali tidak layak untuk berada di bumi Malaysia ini,”katanya.

Menurutnya, siapa pun golongan penghina tersebut, tidak kira apa latar belakang mereka, apatah lagi yang menghina Rasulullah SAW dan agama Islam sukar dimaafkan dan perlu dihukum dengan hukuman keras.

Katanya lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa parti AMANAH dan kerajaan PH tidak boleh menerima penghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

“Beliau (Mujahid) turut mencadangkan pindaan pada akta Kanun Keseksaan bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan ke atas penghina agama dan perkara itu akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen Mac ini bagi mendapatkan kelulusan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat (Speaker) untuk dimasukkan dalam kertas cadangan.

“Ini bererti, pemimpin kerajaan tidak berdiam diri dengan gejala ini. Melalui hukuman keras, para penghina agama akan tahu menilai kata-kata dan tulisan mereka agar menghormati agama Islam di negara ini.” katanya.