Malaysia Dateline

Hina Nabi, agama Islam: Armada P.Pinang lapor polis

Armada Pulau Pinang telah membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta cubaan mencetuskan ketegangan kaum melalui laman sosial.

Laporan polis tersebut telah dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang diketuai oleh Ketua Armada Pulau Pinang, Shameer Sulaiman.

Menurut Shameer lagi, saf kepimpinan Armada Pulau Pinang membuat pendirian bahawa kedaulatan agama Islam serta Nabi Muhammad wajib dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

“Kita tidak akan bertoleransi dengan sebarang tindakan dan usaha maupun perbuatan yang menghina sesuatu agama ataupun kaum dalam negara ini.

“Cadangan kerajaan Pusat untuk membentangkan pindaan hukuman yang lebih keras terhadap penghina-penghina agama khususnya Islam turut disokong.

“Armada Pulau Pinang juga tegas dan berprinsip serta tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana golongan yang cuba menimbulkan konflik kaum maupun agama, ” tegasnya lagi.

Tambah Shameer lagi, tindakan tegas dan serius mesti diambil tanpa lengah terhadap mana-mana individu yang sedang berusaha menimbulkan ketegangan kaum dalam negara ini.

Hadir sama membuat laporan polis tersebut  ialah Timbalan Ketua Armada Negeri Pulau Pinang, Zikri Zulkifli serta wakil-wakil kepimpinan Armada Bahagian-Bahagian di Pulau Pinang.