Malaysia Dateline

Hina Nabi ‘bom jangka’ hubungan kaum Malaysia

Nampaknya warga Malaysia masih tidak belajar dari sejarah perang sivil di Bosnia, rusuhan agama negara India atau konflik etnik yang pernah melanda negara jiran Indonesia di Ambon suatu ketika dahulu.

Kita alpa dan pandang remeh harga sebuah kesejahteraan dalam negara. Wujudnya syaitan-syaitan di kalangan warga kita yang punya penyakit hati, hidup penuh kebencian serta dendam terhadap penganut agama lain terutamanya terhadap agama Islam.

Tiada siapa paksa anda menganut mana-mana kepercayaan di negara majmuk ini, namun Perlembagaan Persekutuan serta realiti sosio-budaya negara ini telah meletakkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan dan Muslim pula merupakan majoriti rakyat terutamanya di Semenanjung, sesuatu yang wajar dihormati oleh semua warganegara Malaysia.

Begitu juga dengan hak serta status agama-agama tradisional lain yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan, juga turut terjaga dari dihina, diejek atau ditindas.

Bukankah kita dididik di peringkat sekolah mengenai Rukun Negara? Kenapa masih wujud golongan manusia yang bersikap kurang ajar, radikal serta provokatif terhadap perbezaan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini?

Rata-rata warganet mengeluh peningkatan aktiviti menghina agama terutamanya Islam dan Nabi Muhammad S.A.W secara terbuka oleh beberapa individu warga Malaysia sendiri di media-media sosial sejak mutakhir ini.

Apa yang orang kita lupa ialah kejadian sedemikian meningkat seiringan dengan kebebasan teknologi telekomunikasi serta hilangnya undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akibat dimansuhkan oleh pentadbiran Barisan Nasional di bawah “Bossku” Najib Tun Razak.

Ia diperparahkan lagi oleh kelantangan NGO dan individu tertentu yang menggunakan wadah politik serta pertubuhan-pertubuhan pro liberal yang makin mencabar kelaziman umat Islam di negara ini.

Sebagai contoh perihal hukuman sebat syarie yang telah lama termaktub dalam undang-undang syariah negeri tertentu, perihal budaya berkhatan bayi perempuan Muslim, perihal penguatkuasaan anti maksiat serta perihal gajala LGBT dan murtad. Seringkali komen-komen pihak ultra liberal itu menjurus ke arah mengusik sensitiviti pihak Muslim menggunakan pentas forum terbuka, rancangan TV atau radio, dan artikel-artikel dalam media berbahasa Inggeris yang cukup popular di kalangan warga Bukan Melayu-Islam di negara ini.

Perlecehan terhadap agama Islam serta Rasulullah tersebut tidak lambat untuk dijadikan modal politik UMNO dan PAS dalam usaha mereka untuk meraih undi simpati kelompok Melayu-Islam di negara ini. Segala-galanya dikaitkan dengan Pakatan Harapan terutamanya parti DAP.

Sedangkan individu yang menghina agama itu juga turut dikutuk oleh pelbagai kaum dan para penyokong Pakatan Harapan sendiri. Tindak balas dari pihak tertentu yang kononnya mendakwa merekalah pembela Islam kadang-kala memperparahkan lagi keharmonian yang terbina selama ini antara warga Malaysia.

Seolah-olah semua orang Bukan Islam di negara ini adalah musuh kepada Muslim. Seolah-olah Muslim itu sentiasa benar dan suci belaka pula. Golongan ekstremis seperti itu akan muncul dan terus dilihat relevan oleh sebahagian masyarakat Melayu-Islam selagi wujudnya golongan ultra liberal yang makin vokal menghentam otoriti agama Islam di Malaysia.

Ia bagaikan hubungan simbiotik yang kelak menyebabkan kelompok berhaluan sederhana di negara ini tersepit dan makin diasak oleh retorik kebebasan multak ala Barat atau sentimen agama melampau yang jumud.

Sebagai sebuah negara majmuk berbilang kaum dan agama, Malaysia perlukan tindakan tegas dan cepat dalam menangani masalah provokasi agama dan kaum di media sosial. Pastikan para pelaku dikesan dan ditangkap secepat mungkin.

Tahanan reman sepatutnya tidak kurang dari 7 hari. Ikat jamin pula perlu semaksima mungkin. Kerajaan juga perlu merangka rancangan jangka panjang untuk memulihkan hubungan kaum di negara ini. Jangan diulangi ketidak-tegasan Menteri Dalam Negeri zaman BN dahulu yang membenarkan kemasukan Bible berbahasa Melayu atau Indonesia di Semenanjung (yang mana adalah salah mengikut undang-undang) dengan hanya bersyaratkan Formula 10 “penyelesaian” yang mengatasi sensitiviti majoriti umat Islam di Semenanjung.

Sudah banyak yang dikompromi oleh kelompok majoriti (Muslim) di negara ini demi toleransi dengan pihak minoriti. Maka wajarlah penghormatan serta kesefahaman yang setimpal diberikan sesama kita demi menjaga perpaduan nasional.

Oleh yang demikian, elemen NASIONALISME dengan semangat Nusantara dan patriotisme terhadap negara ini wajar diperkasakan dan diterapkan hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam usaha menghasilkan warga Malaysia yang bersatu padu.

*Penulis adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.