Malaysia Dateline

Hina Nabi dan agama: Tindakan KPN disambut baik Ikram

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyokong penuh pendirian tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam isu berkaitan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad saw serta ketegangan agama dan kaum yang cuba dicetuskan oleh beberapa pihak termasuk melalui laman sosial.

Presidennya Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata,sebarang tindakan yang menghina mana-mana agama termasuk agama Islam adalah tindakan yang tertolak dan adalah natijah daripada hilangnya sifat hormat, cetek akal serta jahil tentang adab dan budaya rakyat Malaysia.

“Malah, provokasi sebegini akan menimbulkan ketegangan kaum. Justeru, ia perlu ditangani secara adil, tegas dan penuh hikmah.

“Sifat reaktif yang melulu dan beremosi serta tindakan mempermainkan sebarang sentimen perlu dielakkan kerana ia menjejaskan imej agama Islam,” ujarnya.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

Beliau mengulas kemenyataan Ketua Polis Negara semalam yang dipetik berkata, pihak polis telah menerima 929 laporan dan sehingga kini, 16 kertas siasatan telah dibuka.

Kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beberapa tangkapan telah dilakukan dan pihak yang terlibat telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Menurut Dr Mohd Parid lagi, Ikram menggalakkan orang ramai untuk bersifat rasional dan mengambil peluang untuk memperhebatkan usaha dakwah, tarbiah dan kebajikan kepada masyarakat awam.

“Tindakan melaporkan pihak yang bersalah juga amat penting namun perlu disusuli dengan tindakan yang bertanggungjawab dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas mengikut prosesĀ  perundangan negara.

“Ikram ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersikap peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama bagi menjamin keharmonian dan perpaduan nasional,”ujarnya dalam kenyataan hari ini.