Hina Nabi: Serah kepada pihak berkuasa ambil tindakan

Hina Nabi: Serah kepada pihak berkuasa ambil tindakan

Semua pihak disarankan supaya tidak terlalu mengikut perasaan berhubung kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. melalui karikatur jelik oleh salah seorang pemilik akaun Facebook baru-baru ini, kata Pengerusi AMANAH Negeri Perak, Asmuni Awi semalam.

Beliau berkata, perkara tersebut seharusnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Tegas beliau lagi, pembebasan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Foo Sing Wai itu adalah amalan biasa dalam sistem perundangan negara.

“Dibebaskan dengan jaminan polis adalah suatu perkara biasa.

“Sekiranya ia tidak dibebaskan, polis pula akan dikenakan tindakan kerana tidak menurut peraturan.

“Seandainya perintah reman adalah empat hari, sebaliknya ditahan pula selama lima hari, maka pihak polis boleh disaman serta kerajaan pula terpaksa membayar pampasan, ” ujarnya.

Minggu lalu, pemilik akaun Facebook tersebut telah memuat turun penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. serta isteri baginda Saidatina Aishah.

Kesan dari tindakan beliau tersebut, laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk individu, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan seumpamanya.

Kebanyakan laporan polis tersebut turut mendesak pihak polis dan kerajaan supaya mengambil tindakan segera terhadap pemilik akaun yang melakukan penghinaan tersebut.

Pemilik akaun itu dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan selama tiga hari.