Malaysia Dateline

Hina KP Kesihatan bermakna hina semua pegawai kerajaan

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengkritik tindakan ahli Parlimen Bintulu yang dianggap sebagai kurang matang dan biadab terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Tiong King Sing jelas telah merendahkan kredibiliti dan menghina seluruh petugas barisan hadapan terutamanya petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang bertarung memerangi krisis Covid-19.

Menurut Nizar yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, tindakan ahli Parlimen GPS itu hanyalah semata-mata inginkan publisiti murahan.

“Lebih menyedihkan lagi, Ahli Parlimen tersebut tidak memohon maaf atas kenyataan biadap beliau semasa perbahasan Belanjawan 2021.

“Selaku sebahagian anggota kerajaan, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang sensitif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, amat menyedihkan apabila Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman hanya memberi kata dua tanpa ketegasan meminta wakil rakyat berkenaan menarik balik atau meminta maaf di dalam dewan.

AMANAH Perak juga berpandangan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika ini menjadi mangsa politik sedangkan beliau berusaha sebaik mungkin bagi memerangi Covid-19.

Namun soal ADUN Sungai Rapat itu, dimana Menteri Kesihatan dan Timbalan Menterinya berada sekarang ini.

“Adakah mereka berdua yang takut mati?

“AMANAH Perak meminta dengan tegas agar Ahli Parlimen Bintulu meminta maaf secara terbuka kepada KP Kesihatan dan seluruh barisan hadapan terutamanya petugas-petugas Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya lagi.

PKR TUNTUT MINTA MAAF

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menggesa agar satu permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh Tiong bagi memperbetulkan kesilapannya yang mengundang kemarahan orang ramai.

Beliau berkata, Noor Hisham telah mempamerkan etika kerja dan tahap profesionalisme yang sangat baik sepanjang negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Justeru katanya, ahli Parlimen Bintulu itu seharusnya mempersoalkan apakah peranan yang dimainkan oleh Menteri Kesihatan dan dua Timbalan Menterinya yang setakat ini tidak menunjukkan sebarang gerak kerja dan sumbangan signifikan bagi membantu menangani pandemik Covid-19.

“MP Bintulu juga harus sedar bahawa penularan gelombang ketiga Covid-19 yang bermula dari Sabah adalah disebabkan kerakusan kerajaan Perikatan Nasional berpolitik sehingga menyebabkan Pilihanraya Negeri terpaksa diadakan

“Oleh yang demikian, saya berharap MP Bintulu dapat segera membuat permohonan maaf dan mengambil pengajaran daripada kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.