Malaysia Dateline

Datuk Mahfuz Omar

Hina Sultan Pahang: Polis panggil Mahfuz beri keterangan esok

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dipangil untuk memberikan keterangan kepada polis susulan dakwaan beliau menghina Sultan Pahang dalam ceramah politiknya.

Mahfuz dipanggil untuk memberikan keterangan di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Jalan Stadium, Alor Setar esok, jam 10.30 pagi.

Dalam satu kenyataan pegawai khasnya Zulkifli Ismail memaklumkan, Mahfuz dijangka akan memberikan keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Polis IPK Kedah atas report yang dibuat oleh Pemuda Umno Pahang dakwaan beliau menghina Sultan Pahang.

Hari ini Umno Bahagian Pekan mendesak supaya Mahfuz menghadap dan memohon maaf kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah kerana memperlekehkan baginda dalam ceramah politik.

Setiausahanya Datuk Ahmad Azmey Abu Talib dipetik berkata hanya permohonan maaf secara bersemuka dapat menyelesaikan kemelut dan mengurangkan kemarahan rakyat terhadap anggota Parlimen itu.

“Tindakan memalukan sultan di negeri ini amat dikesali dan jelas mempamerkan taktik politik kotor untuk meraih sokongan ramai. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab Mahfuz.

“Sebagai penduduk Pekan yang dikenali sebagai bandar diraja, kami sangat terhiris dengan tindakan itu yang tidak menghormati institusi beraja dan Sultan Pahang,” katanya.

Ahmad Azmey berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan hari ini, yang turut disertai pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Pekan.

Mahfuz dikecam selepas didakwa memperlekehkan kesihatan Sultan Ahmad Shah dalam ceramah politiknya yang semasa itu mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahmad Azmey turut meminta Mahfuz disiasat dan diambil tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 bagi memberikan peringatan kepada ahli politik lain supaya tidak mencabar institusi beraja diamalkan di negara ini.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap Mahfuz sekali gus memberi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak membabitkan institusi diraja dengan politik,” katanya.

Semalam Gabungan Anak Daerah-daerah Pahang di Lembah Kelang turut membuat laporan polis terhadap Mahfuz. Turut membuat laporan Badan Kebajikan Kerabat Pahang dan 9 NGO di negeri Pahang.

Mahfuz dalam komen balasnya terhadap laporan-laporan polis yang dibuat pihak-pihak tersebut berkata, beliau tidak menghina Sultan Pahang mahupun Dr Mahathir sebalikya berkata beliau “memuji” baginda dan Dr Mahathir yang masih boleh memimpin walaupun di usia tua.