Malaysia Dateline

Hina Yang Dipertua Negeri, Pemuda AMANAH Sabah buat laporan polis

Rendy Ismail

Pemuda AMANAH Sabah yang diketuai Rendy Ismail telah membuat laporan polis berhubung isu penghinaan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhal Maharuddin di laman Twitter.

Rendy berkata, laporan polis itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Karamunsing semalam.

“Kami mendesak agar pihak polis membuat siasatan dan tindakan undang-undang ke atas pemilik akaun Twitter bernama RameshRaoAKS***** kerana telah menggelar Yang Dipertua Negeri Sabah sebagai barua kepada Dato’ Seri Shafie Apdal melalui satu hantaran di akaun berkenaan.

“Tindakan itu juga dianggap menghasut kerana boleh menimbulkan persepsi negatif ke atas Tun Dr Juhal selaku Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah sekali merupakan satu kenyataan yang sangat berat dan tidak boleh dimaafkan,” ujar beliau dalam kenyataan yang dihantar ke Malaysia Dateline.

Rendy menegaskan, pemilik akaun tweeter itu juga dianggap menghina kerana cuba menjatuhkan kredibiliti Dr Juhal.

“Rakyat Sabah amat tersinggung dengan kenyataan tersebut selain dikhuatiri menimbulkan kemarahan rakyat di negeri ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, ujar beliau Pemuda AMANAH Sabah sangat menekankan hidup harmoni dan saling menghormati dan berharap agar pihak lain tidak mengheret TYT ke dalam isu politik.

“Kami yakin TYT Sabah akan sentiasa bertindak profesional demi kesejahteraan keseluruhan rakyat Sabah walaupun dalam apa jua keadaan,” katanya lagi.

Pengguna Twitter ini menghina Yang Dipertua Negeri Sabah.