Malaysia Dateline

Hindari perayaan kepercayaan selain Islam tidak nafi tuntutan bersikap ihsan

Kekeliruan sebahagian masyarakat Muslim dalam berinteraksi dengan kemajmukan terlihat apabila ada yang meraikan atau menyertai perayaan kepercayaan selain Islam yang merupakan syiar besar mereka seperti Krismas, Easter, Tahun Baru Cina, Chap Goh Mei, Wesak, Deepavali, Thaipusam, Ponggal, Vaisakhi dan lain-lain.

Perayaan kepercayaan selain Islam penuh disulami kesyirikan bukan sahaja dalam bentuk berdoa dan berharap kepada selain Allah, juga penyembahan makanan dan sajian kepada selain Allah, meletakkan sifat-sifat ketuhanan kepada makhluk, kepercayaan kepada nasib baik dan buruk, keuntungan dan kesialan dan banyak lagi bentuk kesyirikan dan khurafat.

Pasti tindakan meraikan atau menghadiri perayaan tersebut tidak boleh dikatakan termasuk dalam ruang lingkup ‘rahmatan lil alamin’ mahupun ‘fiqh ta’ayush’ yang benar – jika ada yang cuba menganggap sedemikian.

Bagaimana mungkin tindakan menghadiri sebuah perayaan mengandungi kesyirikan dianggap sebuah ekspresi meraih kerahmatan apabila jelas Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Maryam:

يَا أَبَتِ لَا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلرَّحْمَـٰنِ عَصِيًّا ﴿٤٤﴾ يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَن يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِّنَ الرَّحْمَـٰنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا ﴿٤٥﴾

Maksudnya: Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya. (44) Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam Neraka. (45)

Para mufassirin menjelaskan bahawa menyembah syaitan bererti mentaatinya dalam kekufuran dan kemaksiatan kepada Allah Ta’ala. Al Imam Al Si’di rahimahullah malah menjelaskan bahawa Allah mengaitkan seorang yang bermaksiat kepada namaNya Al Rahman, ia membawa maksud, kesyirikan, kekufuran, kemaksiatan kesemuanya adalah PENYEBAB RAHMAT TERHALANG daripada seorang hamba atau suatu kaum.

Selain menjadi penyebab terhalangnya rahmat Allah, perbuatan menyertai perayaan kepercayaan selain Islam juga tidak wajar disuai-padankan dengan konsep fiqh ta’ayush (saling hidup bersama dalam kemajmukan).

Ini disebabkan antara objektif utama dalam ta’ayush adalah mencapai dan memelihara keamanan yang akan dinikmati bersama. Hanyalah Allah Ta’ala yang memiliki dan mengurniakan keamanan buat makhluknya. Petunjuk Al Qur’an sangat jelas apabila Allah berfirman dalam Surah Al An’am:

وَڪَيۡفَ أَخَافُ مَآ أَشۡرَڪۡتُمۡ وَلَا تَخَافُونَ أَنَّكُمۡ أَشۡرَكۡتُم بِٱللَّهِ مَا لَمۡ يُنَزِّلۡ بِهِۦ عَلَيۡڪُمۡ سُلۡطَـٰنً۬ا‌ۚ فَأَىُّ ٱلۡفَرِيقَيۡنِ أَحَقُّ بِٱلۡأَمۡنِ‌ۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (٨١) ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يَلۡبِسُوٓاْ إِيمَـٰنَهُم بِظُلۡمٍ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمُ ٱلۡأَمۡنُ وَهُم مُّهۡتَدُونَ (٨٢)

Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui? (81) Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (82)

Al Imam Al Si’di Rahimahullah seterusnya menjelaskan ayat di atas bahawa orang yang beriman dan tidak mencampurkannya dengan sebarang bentuk kezaliman, yakni:

1) Kesyirikan

2) Kemaksiatan – maka dia akan memperoleh KEAMANAN yang sempurna dan HIDAYAH yang sempurna, jika dia tidak mencampurkan keimanannya dengan syirik, tetapi dicemari maksiat, maka dia memperoleh hanya keamanan bersifat dasar dan hidayah bersifat dasar, namun tidak kesempurnaan keamanan dan kesempurnaan hidayah. Manakala mereka yang mencampurkan keimanan dengan kesyirikan juga kemaksiatan, maka sudah tentu tidak akan memperoleh keamanan dan hidayah, bahkan hanya akan mendapat kesesatan dan kesengsaraan.

Oleh itu dapat difahami, perayaan bersulam kesyirikan pasti tidak akan mendatangkan keamanan.

Seruan agar menghindari perayaan kepercayaan selain Islam ini tidak sekali-kali menafikan tuntutan untuk bermuamalah harian, berlaku adil dan juga bersikap ihsan kepada masyarakat bukan Islam yang sebetulnya harus dilakukan sepanjang masa – secara ikhlas dan menurut ketetapan syara’, bukan disengajakan dan dipertonton khusus pada hari syiar besar agama mereka.

Pembelajaran tauhid yang benar menuntut kita memelihara hak-hak Allah agar hak-hak orang yang bertauhid nanti dipenuhi Allah Ta’ala dengan tidak mengazabnya di kubur dan hari akhirat.