Hindari politik keji lagi jahat, kata Nurul Izzah

Hindari politik keji lagi jahat, kata Nurul Izzah

Malaysia sekali lagi digemparkan dengan budaya politik kotor, keji dan menyedihkan apabila berita yang seharusnya diutamakan adalah berkaitan dengan isu serta usaha penting dalam menangani masalah rakyat berubah menjadi sebaliknya.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan beliau.

Tegasnya lagi, liputan media terhadap serangan peribadi dan fitnah tidak mempunyai objektif selain mencemar nama dan karakter individu, mengakhiri kerjaya politik, menjatuhkan maruah dan reputasi mangsa.

“Sudah sekian lama kita disogokkan dengan permainan politik lucah dan fitnah.

“Demi generasi masa depan, maka perkara ini haruslah segera dihentikan.

“Saya juga berasa penuh empati dan simpati kepada mereka yang dimangsakan dengan politik keji sebegini, ” ujarnya.

Menurut beliau lagi, kesan negatif fitnah kotor tidak boleh sama sekali dipandang remeh kerana ia memberi kesan mendalam kepada semua yang terlibat, terutamanya terhadap keluarga mangsa.

“Tanggungjawab kita bersama adalah menjauhkan diri daripada terjebak dalam mengamalkan budaya politik fitnah yang amat menjengkelkan.

“Fokus utama yang harus diberikan tumpuan adalah terhadap usaha bagi membina negara Malaysia yang lebih baik.

“Sebaliknya cara berpolitik masyarakat bertamadun adalah mengangkat wacana, idea, polisi serta dasar dan bukannya serangan peribadi dan pembunuhan karakter, ” tambahnya lagi.