Malaysia Dateline

Hipokrasi Pas putar belit fakta

Sejak berkomplot menjatuhkan kerajaan mandat rakyat, Februari lalu, dan bersama menganggotai jemaah menteri pimpinan Muhyiddin Yassin, lain sekali nada dan gaya Pas.

Tidak ada lagi slogan lantang atau desakan keras. Senyap sepi kemarahan terhadap kematian Adib. Tuntutan berkaitan Tabung Haji (TH) lenyap.

RUU 355 yang terbengkalai itu dan pernah riuh-rendah di Padang Merbok, dengan ancaman “jirat Cina” tidak kedengaran lagi. Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) pun mati terus. Situasi ini boleh difahami dengan mudah. Pas sebahagian daripada kerajaan tebuk atap dan sedang selesa diulit kekuasaan.

Dahulu rakyat, khususnya masyarakat Melayu-Muslim digasak dan dihasut semahunya, siang-malam, memenuhi ruang media sosial, membangkitkan sentimen kemarahan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, kononnya pemerintah menggadai kepentingan agama-bangsa. Dan terpengaruhlah rakyat jelata dengan pembohongan dan permainan persepsi jahat itu.

Berdiri atas imej parti agama, Pas mengeksploitasi isu-isu tertentu, termasuk memutar-belitkan fakta, seperti dalam kes Tabung Haji, dengan mendakwa agensi yang dekat dengan umat Islam itu telah digadai kepada “orang kafir”. Lebih parah apabila tohmahan-tohmahan itu dilemparkan melalui kuliah agama di surau-surai dan mimbar Jumaat di masjid-masjid.

Kematian anggota bomba, Adib, dalam peristiwa rusuhan di sebuah kuil juga disensasikan seolah-olah kerajaan tidak membela kakitangan awam Muslim yang dibunuh kerana takutkan penganut Hindu.

Digambarkan kononnya Peguam Negara yang bukan beragama Islam turut berkonspirasi menjayakan agenda kuffar. Hebat juga imaginasi penentang kerajaan waktu itu dengan memainkan sentimen perkauman.

Walhal, Menteri Dalam Negeri ketika itu, yang menjaga ketenteraman awam, Muhyiddin adalah perdana menteri sekarang dan menjadi perancang utama yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan, serta didukung kuat Pas. Di bawah kerajaan baru, sikap kritis Pas bertukar menjadi pengampu dan “mengaminkan” saja langkah kerajaan dalam isu-isu kontroversi itu.

Kenyataan terbuka Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, bahawa pendirian terhadap RUU 355 sudah berbeda, kerana kini menjadi sebahagian kerajaan menjadi bukti parti itu hanya pentingkan kuasa dan pengaruh politik semata-mata.

Sedangkan daripada awal lagi idea membawa RUU355 itu dilihat ramai sebagai gerakan terancang untuk memecah-belahkan pembangkang, Pakatan Rakyat, berbanding usaha memperkasa Mahkamah Syariah, apatah lagi memperkenalkan Hudud yang dianggap nyawa Pas itu.

BN ketika itu masih memerintah memang memasang jerat-perangkap buat pembangkang, dengan hanya membenarkan RUU 355 dibentangkan, tanpa perbahasan dan proses pengundian. Bentang-tangguh, bentang-tangguh, dan kemudian sewenang-wenang dilabelkan kafir kepada pihak yang mengkritik atau membuat teguran untuk tambah-baik.

Pemerhati politik bertaraf amatur pun faham isu RUU 355 itu merupakan talian hayat untuk BN dan Najib Razak menang PRU14. Pas dalam kempen mengamalkan pendekatan mesra-BN dan memilih strategi bertanding tiga penjuru bagi pecah-belahkan undi tradisi pembangkang.
Pas bertanding lebih kurang 160 kerusi Parlimen, satu angka yang menimbulkan tanda-tanya besar, terutama dalam konteks kewangan. Bukan saja penyediaan wang deposit calon tetapi persiapan jentera kempen, termasuk poster, risalah, bendera dan bill-board.

Alih-alih apabila menjadi sebahagian kerajaan pintu belakang, dan dilantik Menteri Undang-Undang serta Timbalan Menteri Agama, lain pula ceritanya. Dahulu masa pembangkang, kerjanya hanya menekan dan mendesak, menghasut dan memfitnah tetapi kenapa pula bersedia membawa undang- undang persendirian itu?

Kenapa tidak didesak kerajaan (wakil Umno) sahaja mengemukakan rang undang-undang memperkasa Mahkamah Syariah itu di Parlimen, seperti lazimnya? Kenapa tidak dirujuk kepada Raja-Raja Melayu dan para mufti? RUU355 itu juga seharusnya bersifat menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada pindaan menambahkan hukuman sahaja.

Belum lagi diperincikan tohmahan atau persepsi hodoh yang sengaja disebarkan bagi membibitkan kebencian terhadap kerajaan PH, seperti penguasaan DAP ke atas Putrajaya, kes kemalangan maut berkaitan pemandu mabuk, Islam liberal, premis judi, layanan terhadap golongan LGBT, lambang-lambang Kristian dan proses kristianisasi, NGO pendidikan Cina dan banyak lagi “isu jadi-jadian”. Kebebasan bersuara yang dijamin PH telah disalahguna bagi kepentingan politik Pas.

Aneh dan ajaibnya, bagi pengikut tegar Pas, segala dalih pemimpinnya bagai diterima tanpa berfikir, “kami dengar dan kami taat”. Rasanya, jika tanpa sebarang alasan pun bagi membenarkan aksi-aksi U-turn itu, mereka mudah sahaja akur dengan “fatwa” ulama Pas, khususnya presiden, Ustaz Abdul Hadi Awang. Malah, Pas kini dikenali sebagai komponen Perikatan Nasional paling setia kepada Muhyiddin.

Dalam perbalahan di antara Umno-Bersatu, Pas nampaknya memilih untuk “bermain di dua kolam”. Justeru, ada pemimpin Umno yang mulai curiga dengan sikap Pas, walaupun tetap mahu memperkukuh Muafakat Nasional.

Namun, begitu difahamkan ramai juga yang menyedari hipokrasi Pas bagi mengambil kesempatan politik terhadap senario semasa. Cuma terpulang kepada saingan terdekatnya, Parti Amanah Negara untuk memanfaatkan potensi yang ada.

Sayangnya, banyak pihak beranggapan Amanah pun masih lemah dan tidak menampilkan keupayaannya mencabar pengaruh Pas, terutama di Pantai Timur dan wilayah utara Semenanjung.

Pesona pemimpinnya agak suram, dan dibatasi pelbagai faktor lain, seperti kekurangan sumber tenaga serta dana, bagi menarik perhatian dan menambat hati kelompok Melayu tradisional.