Malaysia Dateline

Hisham, baiki diri sebelum sertai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB

BAGAIMANA MALAYSIA LAYAK SERTAI SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA PBB JIKA DEMOKRASI TIDAK DIBAIKI

1. Hasrat Malaysia untuk menyertai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024 seperti yang dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein perlu dipersoalkan.

Ini kerana, sejak negara dipimpin oleh kerajaan PN, proses pendemokrasian dan Hak Asasi Manusia di Malaysia semakin merosot. Ini sama sekali berlawanan dengan matlamat utama suruhanjaya ini yang ditubuhkan sejak 2006 iaitu untuk mempromosi dan melindungi Hak Asasi Manusia di dunia.

2. Jika dilihat kepada pendemokrasian dan Hak Asasi Manusia di Malaysia, kemerosotan ketara dapat dilihat selepas mandat rakyat dirompak daripada kerajaan PH. Jika dilihat kepada Indeks Kebebasan Dunia yang dikeluarkan oleh Freedom House, skor markah Malaysia ketika pemerintahan PH dari tahun 2018 hingga 2019 meningkat dari 45 kepda 52 markah.

Skor hak politik juga meningkat iaitu 18 kepada 21 dan skor kebebasan sivil juga meningkat dari 27 kepada 31.

3. Namun, apabila Kerajaan PN mengambil alih Putrajaya, Indeks Kebebasan Dunia Malaysia menurun kepada 51 markah pada tahun 2021.

Selain itu, skor hak kebebasan sivil pada tahun 2021 juga menurun kepada 30 markah berbanding tahun 2019. Indeks ini membuktikan berlakunya kemerosotan dalam aspek kebebasan dan Hak Asasi Manusia di bawah PN berbanding ketika era pemerintahan PH.

4. Kemerosotan Indeks Kebebasan Dunia ini adalah didorong oleh beberapa tindakan kerajaan PN yang dilihat gagal menghormati sistem demokrasi dan Hak Asasi Manusia di Malaysia. Antaranya:

i) Merompak mandat rakyat (kudeta) dengan menjatuhkan kerajaan PH yang jelas membelakangkan sistem demokrasi dan Hak Asasi Manusia.

ii) Kerajaan PN menggunakan darurat dan menggantung parlimen nyata menggugat sistem demokrasi di Malaysia. Walaupun berhadapan ancaman pandemik Covid-19, negara-negara lain tidak menggantung parlimen walaupun mereka melaksanakan darurat dan parlimen masih berjalan seperti biasa.

iii) Kerajaan PN menghalang kewujudan parti politik baharu seperti PEJUANG dan MUDA walaupun Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk berpersatuan. Ini berbeza dengan kerajaan PH yang membenarkan parti politik baharu ditubuhkan antaranya Parti PUTRA.

iv) Pendakwaan terhadap Malaysiakini jelas memberikan gambaran bahawa kebebasan media terjejas di bawah kerajaan PN.

v) Wujud desakan daripada parti pemerintah supaya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digunakan untuk mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang mengkritik Perdana Menteri di media sosial.

5. Oleh itu, sebelum Kerajaan PN bercita-cita untuk membawa Malaysia menyertai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB, adalah lebih baik mereka membaiki sistem demokrasi dan Hak Asasi Manusia yang telah dirosakkan sebelum ini.

Kita tidak mahu negara menjadi bahan gelak ketawa negara lain dalam mempromosikan Hak Asasi Manusia sedangkan di negara kita sendiri sistem demokrasi dan Hak Asasi Manusia dicabuli.

Malaysia perlulah menjadi negara contoh terlebih dahulu dalam melaksanakan sistem demokrasi dan Hak Asasi Manusia sebelum bercita-cita menyertai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB.

FAIZ FADZIL
4 Mac 2021