Hisham diminta siasat kerja ‘tidak masuk akal’ dan ‘sangat gila’ di Segamat

Kem Segamat belum siap tetapi sudah ada 1051 pengundi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein harus melakukan siasatan dalaman dengan segera untuk mengenalpasti siapakah dalang yang melakukan kerja yang “tidak masuk akal” dan “sangat gila” dalam pendaftaran pemilih baru dan pemindahan pemilih anggota tentera ke Kem Segamat yang belum siap dibina.

Adun Mengkibol, Tan Hong Pin dalam satu kenyataannya berkata,
mereka tidak ingin melihat anggota tentera disusahkan dan dijadikan mangsa dalam percaturan politik kotor.

Oleh itu, katanya, DAP telah mengemukan bukti-bukti yang sahih.

Katanya, Rang Daftar Pemilih Tambahan adalah dokumen rasmi yang diterbitkan dalam warta Kerajaan Malaysia mengikut Akta Pilihan Raya.

“Ia bukan ciptaan ataupun sangkaan DAP. Begitu juga status pembinaan Kem Segamat yang belum siap dibina.

“Nyata sekali bangunan-bangunan di situ masih tiada bekalan air, tiada bekalan elektrik dan tidak didiami oleh mana-mana warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Hishamuddin agar berani bertanggungjawab, bukan melepaskan isu ini kepada Panglima Angkatan Tentera.

“Beliau sewajarkan tampil memberi penjelasan secara terperinci di sesi Parlimen yang akan bersidang pada minggu hadapan,” katanya.

Beliau memberi tempoh tujuh hari kepada Hishamuddin dan Kementerian Pertahanan untuk membuat penjelasan awam dan mengambil tindakan pembetulan, mulai hari ini.

“Tanpa tindak balas sewajarnya dalam tujuh hari, saya bersama rakan-rakan Pakatan Harapan bersedia membuat aduan kepada Yang DiPertuan Agong yang merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara,” katanya.

Beliau berasa kesal dengan jawapan Hishammuddin semalam yang menepis dakwaan DAP berkenaan pemindahan pemilih anggota tentera ke Kem Segamat sebagai “tidak masuk akal”.

“Beliau berkata orang yang waras tidak akan pergi ke tempat yang tidak sesuai untuk tinggal “dan sangat gila untuk memindahkan askar tanpa menyediakan rumah untuk mereka. Ia hanya akan menyebabkan mereka tidak akan mengundi kita (BN),” kata Tan yang memetik kenyataan Hishammuddin.

Beliau juga bertanya Hishammuddin sama ada beliau percaya mungkin ada perbuatan sabotaj dalaman yang membawa kepada pendaftaran sejumlah 1,051 orang pemilih anggota tentera di Kem Segamat?

“Harus diingat nama-nama 1,051 orang pemilih tersebut tidak mungkin tertera dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ke-3 (RDPT) hanya kerana kesilapan teknikal ataupun kecuaian.

“Sudah tentu ada orang yang mengisi borang, menandatangani borang, dan menghantar borang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk diproses dan didaftarkan,” katanya.

 

8.3
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 8.0