Malaysia Dateline

Hisham sepatutnya jawab 6 soalan masyarakat tentang LCS, bukan ikut skrip sepupunya saja

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sepatutnya menjelaskan enam soalan utama tentang kapal LCS yang sedang dibina untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukannya hanya mengikut skrip yang dikehendaki sepupunya, Datuk Seri Najib Razak sahaja.

Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama mereka berkata, Hishammuddin tidak menunjukkan sebarang keikhlasan dan ketekadan dalam pengendalian skandal Littoral Combat Ship (LCS).

Semalam, pihak Kementerian Pertahanan membawa wakil-wakil media lawat ke tapak pembinaan LCS di Lumut dengan niat untuk menyakinkan rakyat bahawa kapal-kapal LCS memang wujud dan projek ini masih berlangsung.

Menurut rakan-rakan dari pihak media, kata pemimpin Pakatan Harapan itu, lawatan semalam seperti (menunjukkan usaha) “tikus baiki labu”. Media dibawa ke “hull” (badan kapal) LCS 1.

“Badan kapal LCS 2 hanya boleh dilihat dari jauh. Kapal-kapal yang lain tidak kelihatan.

“Seperti Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud.

“Kenapa bawa media tengok badan kapal (yang sama sejak tahun 2017)? Kan Ketua Eksekutif LTAT Datuk Nazim Rahman kata badan kapal boleh dinampak dari jauh dalam perjalanan ke Pulau Pangkor?” kata mereka berdua dalam kenyataan yang dibuat petang tadi.

Seperti yang pernah mereka berdua terangkan, kelengkapan dan peralatan kapal berdasarkan detailed design adalah jauh lebih penting daripada badan kapal.

Detailed design belum siap lagi. Peralatan belum dapat dipasang lagi,” kata mereka.

Bagi mereka, projek LCS tidak dapat diteruskan tanpa detailed design dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna.

Najib cuba menuding jari dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan untuk kelewatan projek LCS, kata mereka.

“Pakatan Harapan berkuasa 22 bulan tetapi Barisan Nasional yang memegang tampuk kuasa sebelum dan selepas itu melebihi 60 tahun,” kata mereka.

Menurut mereka, Kementerian Pertahanan yang dipimpini Mohamad Sabu tidak membeku projek LCS.

“Projek LCS tergendala kerana kekangan kewangan syarikat BNS. Kerajaan Pakatan Harapan cuba selamatkan projek LCS dan sedia menyuntik dana tetapi kerajaan dijatuhkan,” kata mereka.

Dalam 26 bulan ini sejak Langkah Sheraton, jawatan Menteri Pertahanan dipegang oleh Umno, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin.

“Kalau ikut logik Najib, kapal LCS patut dibina lebih cepat selepas Februari 2020. Namun, satu kapal pun tak siap lagi.

“Dan amat pelik sekali, kenapa status pembinaan yang diumumkan semalam lebih rendah berbanding dengan Oktober 2020?” kata mereka.

Bagi mereka, tugas Hishamuddin bukan untuk “cover-up” atau sembunyikan kebenaran bahawa projek LCS adalah projek sakit tetapi memberi jalan penyelesaian kepada soalan-soalan berikut:

1. Adakah projek LCS dimulakan untuk membiayai hutang lapuk BNS? (RM 745 juta dana LCS digunapakai untuk membiayai hutang lapuk New Generation Patrol Vessel secara haram. Najib pula cuba “menghalalkan” pembayaran ini.)

2. Siapa yang bertanggungjawab ke atas pertukaran sistem dari Sigma ke Gowind? (Menurut Laporan PAC, mantan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi menukarkan sistem pada Julai 2011 tanpa memaklumkan Tentera Laut Diraja Malaysia. Pada ketika itu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah Datuk Seri Najib Razak.)

3. Daripada RM 6.08 bilion yang diberikan kepada BNS, berapa telah disonglap dan hilang tanpa jejak?

4. Bila detailed design yang dijadualkan selesai pada November 2016 boleh dimuktamadkan?

5. Apakah jumlah dana suntikan untuk memulihkan projek LCS? (Pada tahun 2021, BNS mencadangkan untuk menerbit sukuk sebanyak RM 4 bilion sebagai tambahan kepada baki baki RM 3 bilion dari peruntukan asal projek LCS. Adakah BNS memerlukan RM7 bilion lagi selepasRM 6.08 bilion telah disuntik?)

6. Apakah jadual terbaru serahan kapal oleh BNS kepada TLDM? (Kami difahamkan bahawa sekiranya projek LCS bermula sekarang, LCS 1 hanya akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2026).