Malaysia Dateline

Hisham sifatkan kurniaan PSM oleh YDPA satu penghormatan kepada ‘frontliners’

Pengurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Nor Hisham Abdullah yang memberi gelaran Tan Sri disifatkan satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Nor Hisham dalam kenyataan ringkasnya di Facebook berkata, pengurniaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tahun 2020 sekaligus merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan Kerajaan kepada penjawat awam.

“Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik COVID-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” kata beliau.

Sejak pendemik COVID-19 melanda negara, beliau sering muncul di kaca televisyen setiap hari bagi memberitahu perkembangan wabak itu selain menitipkan nasihat-nasihat kepada seluruh rakyat negara ini bagi mengekang penularan virus.

“Merafak sembah, menjunjung kasih mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di atas limpah perkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) ke atas patik sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tahun 2020 di Istana Melawati, Putrajaya.

“Alhamdulilah, gelaran dan darjah kebesaran ini merupakan satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”katanya.