Malaysia Dateline

Hishammuddin abai prinsip neutraliti hubungan kerjasama dua negara

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn didakwa telah mengabaikan prinsip neutraliti dalam hubungan kerjasama dua negara kerana menyebabkan Malaysia terlibat dalam operasi ketenteraan enam tahun lalu.

Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong berkata, biarpun Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan yang erat, namun pengendalian hubungan tersebut perlulah berteraskan prinsip neutraliti.

Menurutnya, Hishamuddin pernah menyebabkan Malaysia terlibat dalam operasi ketenteraan ketika perang saudara Yaman iaitu Ops Yaman 2 yang menurutnya penglibatan ATM membantu Arab Saudi memerangi kumpulan Houthi, tidak dibincangkan dalam Kabinet.

“Dalam memo dalaman antara Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan dan Markas Angkatan Tentera, kerajaan telah dinasihatkan bahawa penglibatan ATM dalam perang di Yaman akan menjejaskan imej Malaysia di persada antarabangsa sebagai negara neutral.

“Malah, ia bercanggah juga dengan gerakan Global Movement of Moderates yang diangkat oleh mantan Perdana Menteri ketika itu.

“Selain itu, atur gerak unit tersebut turut melanggar prosedur eksekutif. Keputusan untuk melaksanakan Ops Yaman 2 tidak dibincangkan di peringkat Kabinet, dan peruntukan tambahan untuknya juga tidak dibahaskan di Parlimen,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka menambah, arahan pemula juga tidak pernah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan Malaysia terlibat dalam operasi ketenteraan yang diketuai Arab Saudi.

Jelasnya, sejarah ATM penuh dengan penglibatan misi pengamanan negara-negara luar dan Imej ATM di persada antarabangsa tidak sewajarnya dicemarkan.

Kedua-dua bekas Kabinet Pakatan Harapan (PH) itu berkata, dalam usaha Hishamuddin melestarikan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, mereka berharap agar Malaysia tidak akan terlibat sekali lagi dalam perang di Yaman.

“Kepentingan rakyat Malaysia perlu diutamakan dalam pengendalian dasar luar negara kita. Nyawa anggota tentera kita juga tidak boleh digadaikan semata-mata kepentingan politik.

“Malaysia tidak sewajarnya terperangkap dalam mana-mana operasi ketenteraan di luar negara yang tidak diberi mandat jelas daripada PPB,” tambahnya lagi.