Malaysia Dateline

Hishammuddin buktikan dirinya sedang menangguk di air keruh, kata PKR

Hishammuddin Tun Hussien wajar kembali menilai kembali kapasiti beliau di dalam kerajaan pada ketika ini dengan menulis begitu panjang hanya membuktikan bahawa beliau sedang menangguk di air keruh, demikian menurut Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Penerangan PKR itu berkata, di sebalik keluh kesah beliau melalui beberapa tulisannya seminggu dua ini, elok beliau mulakan dengan meletakkan jawatan untuk memperlihatkan jiwa besar beliau sekaligus boleh mengurangkan beban kewangan negara.

“Buktikanlah bahawa Kerajaan ini masih mempunyai hati nurani untuk membela rakyat, bukannya mempolitikkan pandemik demi mengekalkan kekuasaan secara tidak bermaruah,” kata beliau.

Hishammuddin melalui penulisan terkini beliau “Melangkaui Politik dan Pandemik”, antaranya desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi serta tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah berkata, Hishammuddin wajar bersuara di dalam Mesyuarat Kabinet di atas kapasiti beliau selaku Menteri Kabinent bahawa penutupan Parlimen juga tidak boleh menjadi alat untuk mengekalkan kekuasaan secara tidak bermaruah.

“Terimalah hakikat bahawa atas prinsip kebertanggungjawaban bersama “collective responsibility”, kelemahan Kerajaan mengurus pandemik ini adalah sumbangan tidak rasmi beliau secara tidak langsung.

“Hanya bersuara selepas 450 hari pandemik membelenggu negara menunjukkan satu keprihatinan palsu, yang sebenarnya juga satu bentuk agenda tersembunyi demi nafsu politik beliau yang konon khabarnya calon Perdana Menteri dalam penantian,” kata beliau.

Dalam pada itu, Shamsul turut mempersoalkan gesaan Hishamuddin bahawa Ahli-Ahli Parlimen yang kuat mendesak agar persidangan diadakan, mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan Parlimen yang disambung semula nanti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya terutama dalam pengurusan Covid-19.

“Apakah beliau tidak sedar bahawa gesaan ini datang dari hampir kesemua parti-parti politik dominan dalam negara termasuk Umno?

“Sudah pasti isunya bukan perihal tembolok kekuasaan: sebaliknya perihal Parlimen sebagai ruang suara rakyat disuarakan melalui Ahli-ahli Parlimen,” soalnya.

Jelas Shamsul, kelemahan pengurusan pandemik, pelaksanaan program Prihatin Rakyat yang tiada hala tuju, rakyat yang semakin tertekan dek kehilangan pekerjaan dan pendapatan, proses vaksinasi yang lembab – inilah yang hendak diketengahkan oleh kami Ahli-ahli Parlimen.

“Hangatnya media sosial dengan #KerajaanGagal dan #KerajaanBodoh kelihatan tidak diambil endah walaupun itu datang daripada nurani dan suara rakyat. Maka, Parlimenlah ruang yang wajar dimanfaatkan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai salah seorang menteri kabinet Perikatan Nasional, sewajarnya beliau menumpukan usaha untuk memastikan bagaimana Kerajaan ini tidak gagal sebagaimana yang semakin terbukti sekarang.

Ini termasuklah, katanya Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, wajar dipersoalkan kerana ia tidak menggambarkan keseriusan Kerajaan untuk menguruskan pandemik COVID-19 ini.

Justeru katanya, kerajinan beliau menulis ini bolehlah ditafsirkan bahawa kemelut politik yang sedang melanda Kerajaan Perikatan Nasional adalah sesuatu yang sedang berlaku secara real, benar-benar berlaku dan istilah #KerajaanGagal semakin menampakkan kesahihannya.