Hishammuddin mahu kemelut Terengganu diselesai segera

Hishammuddin mahu kemelut Terengganu diselesai segera

Kepimpinan Umno di Terengganu perlu menyelesaikan segera kemelut politik di negeri itu untuk mengelak ia daripada membebankan rakyat, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata kemelut itu perlu diselesaikan bermula dari peringkat perhubungan negeri, bahagian dan cawangan.

“Ini bukan kali pertama, tetapi ia boleh ditangani jika ada iltizam politik dan keseriusan dalam kalangan ahli (dan pemimpin),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh 2016 di sini hari ini.

Sejak awal minggu lalu Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal saling mengkritik sesama sendiri hingga timbul spekulasi akan berlaku pilihan raya negeri.

Pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, UMNO Terengganu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis dua kerusi. UMNO menang 17 kerusi DUN, PAS (14) dan PKR (satu).

Sementara itu di DUNGUN, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berpendapat Ahmad Razif dan Ahmad seeloknya bersemuka bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.

Beliau berkata pertemuan melibatkan ‘tuan punya badan’ lebih baik daripada diwakili pihak lain kerana sebarang keputusan haruslah daripada mereka sendiri kerana mungkin wakil mempunyai agenda tersendiri.

“Pergerakan Pemuda harap akan ada penyelesaian terhadap kemelut yang sedang melanda UMNO atau negeri Terengganu. Sudah pasti kami harap bahawa semua pihak akan memberi kerjasama kepada Ahmad Razif untuk terus menerajui kerajaan negeri.

“Kita mahu mengelak sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan atau satu kemungkinan di mana terpaksa diadakan pilihan raya negeri,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Dungun dan ketiga-tiga sayap bahagian itu hari ini.

Beliau turut menyatakan Pemuda Umo akan terus menyokong Ahmad Razif kerana beliau adalah pemimpin yang sah dan dipilih oleh presiden parti serta mendapat perkenan Sultan Terengganu.