Hishammuddin tidak sensitif masalah rakyat, selar Faiz

Hishammuddin tidak sensitif masalah rakyat, selar Faiz

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil menyifatkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai tidak sensitif terhadap masalah rakyat.

Faiz berkata, pembelaan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu terhadap nasib golongan nelayan lahir daripada sikap Presiden AMANAH tersebut selama ini yang berjuang membela nasib rakyat yang terbelenggu dengan kemiskinan.

“Sikap beliau (Mohamad) itu tidak langsung menjejaskan tanggungjawabnya kepada anggota tentera yang turut dibela, di mana veteran tentera yang memegang Pingat Jasa Malaysia diberikan bayaran saguhati ‘one-off’ sebanyak RM500 sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2020.

“Kemiskinan hidup golongan nelayan yang kebanyakannya golongan B40 ini memang menjadi perhatian kerajaan Pakatan Harapan (PH) di mana YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Salahuddin Ayub telah menggariskan 5 hala tuju dalam usaha mempertingkatkan taraf kehidupan mereka,” ujar Faiz dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Faiz, kerajaan PH sudah pun membela nasib golongan nelayan tanpa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai melalui pelbagai pemberian insentif dan subsidi termasuk elaun sara hidup sebanyak RM250 sebulan bermula Januari 2020, subsidi petrol dan diesel serta insentif pendaratan ikan.

“Kenyataan Hishammuddin yang menyelar kedua-dua Menteri ini menunjukkan kerisauan beliau terhadap prestasi kerajaan PH yang cukup prihatin kebajikan rakyat dengan pelbagai dasar baharu dan pendekatan Menteri menyantuni rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faiz yang merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, lawatan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub di sebuah sekolah Cina dan memberikan sumbangan tidak boleh dilihat sebagai suapan politik.

“Sebagai pejuang rakyat, beliau kini tidak hanya bercakap kosong tetapi melakukan apa yang dikatakan (walk the talk) dengan membantu pihak sekolah yang memerlukan sumbangan.

“Lagipun, sumbangan tersebut atas kapasiti pemimpin kerajaan yang mengangkat agenda kebajikan rakyat sebagai agenda utama kerajaan hari ini,” ujarnya lagi.

Faiz turut menyifatkan Menteri-menteri PH adalah pejuang rakyat yang selama ini cukup cakna terhadap denyut nadi rakyat.

“Kini mereka berpeluang untuk menyelesaikan masalah rakyat. Sikap dan pendekatan sebegini yang berpotensi menawan hati rakyat yang menjadi mimpi ngeri buat pemimpin pembangkang yang gagal melaksanakannya sebelum ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Hishammuddin dilapor terkejut apabila Mohamad Sabu bertindak membela nelayan yang bukan di bawah portfolio kementeriannya sewaktu kempen PRK Tanjung Piai, baru-baru ini.

Menurutnya, kenyataan Mohamad dianggap mengelirukan rakyat lebih-lebih lagi nasib anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini masih tidak terbela.

Begitu juga dengan penularan video mengaitkan Salahuddin yang dikatakan berkempen dalam kawasan sekolah, Hishamuddin menyifatkan beliau selaku bekas Menteri Pendidikan sendiri tidak tergamak melakukannya.

“Saya terkejut bila Menteri Pertahanan hendak membela nelayan yang bukan portfolio dia, sedangkan nasib veteran tentera dan anggotanya sendiri tidak terbela.

“Salahuddin pula, bila dia berkempen dalam sekolah, saya selaku bekas menteri pendidikan dulu, saya sendiri tidak tergamak hendak berkempen dalam kawasan sekolah pada pilihan raya,” katanya kepada media sewaktu menyantuni pengunjung pasaraya Econsave Pontian.