Hishamuddin guna prestasi lemah dividen untuk kritik Rafizi

Hishamuddin guna prestasi lemah dividen untuk kritik Rafizi

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mengutuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengaitkan jumlah dividen bagi 2015 sebagai gambaran baik prestasi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurutnya, dividen enam peratus yang wajib dibayar kepada semua pencarum bagi tahun kewangan tersebut adalah paling rendah sejak 1973.

“Walaupun ekonomi negara menguncup dalam krisis ekonomi 1985 hingga 1987 dan 1997 hingga 1998, dividen yang diumumkan bagi tahun-tahun itu adalah lebih tinggi daripada enam peratus,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kepimpinan Umno cukup takut dengan isu kelewatan pembayaran caruman pencen kepada golongan pesara tentera.

“Bonus enam peratus dalam bentuk unit amanah kepada anggota tertentu sahaja dan bukan semua anggota akan mendapat bonus unit amanah ini.

“Sepatutnya sebagai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menjaga kebajikan mereka bukan menggunakan prestasi dividen yang lemah untuk mengkritik saya,” tegasnya lagi.

Rafizi sebelum ini mendakwa LTAT mengalami masalah kewangan untuk membayar pampasan kepada pesara tentera dengan mengemukakan senarai 110 mereka terlibat.

Ekoran pendedahan tersebut, pihak LTAT dalam reaksinya pada awal April lalu berkata, 70 daripada bekas tentera terbabit telah menerima bayaran berkenaan.

Sehubungan itu, LTAT memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi kerana menganggap dakwaan Ahli Parlimen Pandan itu sebagai fitnah dan bertujuan memusnahkan kredibiliti badan tersebut.