Malaysia Dateline

Hishamuddin perlu muhasabah diri sebelum kritik kerajaan

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein diingatkan supaya bermuhasabah diri berikutan kenyataannya memperkecilkan penyediaan kertas putih Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat, budaya dan nilai yang didokongi oleh parti Umno-Barisan Nasional (Bn) jauh berbeza daripada nilai ketelusan dan akauntabiliti Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya lagi, cara pengurusan Bn ketika Hishamuddin di kabinet dahulu adalah untuk membeli alat dan kapal serta kenderaan canggih yang mahal tanpa penelitian rapi seperti pembelian kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi.
“Namun, sehingga hari ini ianya tidak kelihatan dan dikatakan rosak serta tidak diketahui kegunaannya. Banyak lagi alat ketenteraan yang dibeli dengan harga mahal yang tidak sesuai untuk kegunaan kita.
“Inilah cara dan budaya zaman Umno-Bn berbanding dengan pendekatan lebih cermat kerajaan PH dengan tawaran yang terbuka.
“Seperkara lagi, ketika awal insiden serangan tentera Sulu dan penubuhan ESSCOM dahulu, sumber dari Sabah menyatakan, peruntukan kewangan lumayan yang diberitakan tidak sampai pada sasaran sebenarnya. Ada ahli politik Bn Sabah sendiri merungut tentang isu ini.
“Beliau (Hishamuddin) tidak boleh bermegah dan mendabik dada atas pencapaian projek-projek yang tidak boleh dibanggakan, malahan banyak merugikan rakyat dan membangkitkan rasa tidak puas hati anggota ATM,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Raja Kamarul yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut mendedahkan penglibatan ATM dengan sekutu Arab Saudi bersama kuasa besar Amerika dan Britain yang menyebabkan puluhan ribu rakyat awam Islam Yaman terbunuh.
“Itu adalah perbuatan yang tidak dapat dimaafkan. Kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib telah menggunakan hubungan erat peribadinya dengan keluarga Diraja Arab Saudi untuk melibatkan ATM dalam perang Yaman ketika Hishamuddin menjadi Menteri Pertahanan.
“Penglibatan menyedihkan tentera Malaysia dalam perang Yaman secara rahsia di bawah Hishamuddin dan di atas arahan Najib tidak boleh dimaafkan oleh rakyat Malaysia.
“Perancangan tidak bijak dan komplot kejam apakah yang ATM kita diarah terlibat menyerang bersama kuasa besar bukan Islam Barat ke atas sebuah negara Islam yang miskin dan kecil tanpa pengetahuan Parlimen dan rakyat Malaysia?
“Antara tugas kemanusiaan untuk membersihkan nama Malaysia menerusi Menteri Pertahanan, adalah membawa pulang anggota tentera kita ke Malaysia daripada penglibatan perang Yaman,” ujarnya lagi.
Justeru itu, Raja Kamarul menyifatkan sudah tentu Mohamad Sabu perlu berhati-hati dan mengambil masa untuk menyediakan kertas putih yang diperlukan, bagi memastikan insiden seperti serangan Lahad Datu dan penglibatan perang Yaman tidak berulang.
Raja Kamarul turut berpesan supaya mencermin prestasi diri sendiri sebelum mengkritik orang lain di bawah kerajaan PH yang perlu membaiki banyak kerosakan diwarisi kerajaan Bn-Umno.