Malaysia Dateline

Hishamudin tolak pecat Azlan dari Umno, Mufti cadang pilihan raya semula

Pilihan raya baru bolehkan Perlis sama-sama berubah dan menumpang kerajaan pusat selepas perlantikan Azlan dipertikai oleh 9 lagi rakannya.

Kemelut Perlis menjadi semakin parah apabila Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak agar Datuk Seri Azlan Man dipecat sebagai menteri besar.

Ia berlaku ketika Mufti Perlis, Datuk Dr Mohamad Asri Zainol Abidin pula mencadangkan agar pilihan raya dibuat semula di negeri itu.

Melalui intagramnya, Hishamudin yang menghadap Raja Perlis sehari sebelum perlantikan Azlan sebagai menteri besar meminta agar pemimpin Umno berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang baik.

Nasihat itu dipercayai ditujukan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mencadangkan agar Umno memecat Azlan selepas beliau mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

“Perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap daripada pemimpin Umno harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik.

“Dalam keadaan Umno yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah berikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksanakan dengan penuh amanah,” katanya dalam catatan di laman sosial Instagram beliau malam tadi.

Beliau berkata keputusan pelantikan Azlan sebagai menteri besar haruslah dihormati kerana semestinya Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di negeri itu.

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berpendapat Perlis harus mengadakan pilihan raya semula susulan krisis menteri besar yang sedang melanda.

“Nampaknya, macam Perlis kena buat pilihan raya semula.

“Mungkin dengan cara itu semua akan puas hati,” katanya.

Asri berkata jika pilihan raya baru dibuat, boleh membuka kemungkinan baru.

“Boleh pilih wajah-wajah yang baru dan bermutu tinggi dari semua pihak yang bertanding.

“Mana-mana jaguh yang ada kualiti tapi telah ‘terkalah’ di tempat lain, mungkin boleh datang bertanding di Perlis.

“Ada 15 kerusi untuk direbut. Maka, Perlis boleh dapat calon-calon terbaik.

“Di samping, isu-isu 1MDB dan yang sewaktu dengannya, mungkin boleh menjadi panduan rakyat Perlis untuk membuat penilaian semula,” katanya.