Malaysia Dateline

Hiwar medan penting bagi umat Islam

Hiwar atau dialog harus dikembangkan bagi membetulkan kesalahfahaman mengenai Islam, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah hiwar mengalakkan kebaikan dan cara untuk memahami antara satu sama lain, meskipun terdapat perbezaan dalam usaha sihat ke arah kecemerlangan.

Oleh itu, dialog merupakan medan berkuasa bagi umat Islam untuk memperbetulkan salah tanggapan mengenai agama Islam kepada penganut dan ideologi lain.

“Ini membenarkan kita meningkatkan interaksi dan hubungan dengan budaya dan tamadun lain,” titah Seri Paduka dalam Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, titah baginda, kefahaman yang mendalam mengenai agama Islam boleh digunakan sebagai asas kefahaman.

“Apabila kita telah mencapainya, kita akan mewujudkan generasi baharu umat Islam yang dapat melaksanakan tugas kita dengan penuh kebijaksanaan, berani dan adil,” titah Seri Paduka.

Baginda bertitah generasi baharu mempunyai peluang besar untuk membangkitkan semula tamadun Islam dan merintis ke arah abad kegemilangan Islam dengan gabungan nilai positif, capaian kepada maklumat dan teknologi komunikasi serta keupayaan untuk memahami perbezaan akan agama lain.

“Kita mungkin dapat menarik inspirasi daripada era kegemilangan sejarah Islam. Contohnya, empayar Uthmaniah menyaksikan berkembangnya budaya dan seni dengan penekanan kepada sains dan teknologi.

“Di bawah kepimpinan Suleiman Agung, Istanbul menjadi bukan hanya pusat budaya Islam tetapi pusat perdagagan, perniagaan dan tukaran, menjadi jambatan Timur dan Barat, titah Seri Paduka,” titah baginda.

Seri Paduka diiringi Seri Paduka Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Selain Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Sidang Kemuncak ini hadir pada perasmian ini ialah Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad, Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran Dr Hassan Rouhani dan Timbalan Perdana Menteri Republik Uzbekistan, Elyor Ganiev.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah terdapat sepertujuan yang semakin meningkat dalam kalangan pakar dan cendekiawan bahawa pembangunan bersama dengan urus tadbir yang baik akan mengurangkan banyak masalah di dunia Islam.

“Persoalannya, bagaimanakah pembangunan dapat dibentuk selaras dengan prinsip Islam,” titah Sultan Abdullah.

Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah agar semua orang mengambil peluang pada sidang kemuncak tersebut supaya minda-minda cerdik pandai daripada masyarakat dapat berkerjasama dan bergabung menghasilkan penyelesaian praktikal bagi umat Islam.

Kira-kira 450 perwakilan terdiri daripada ahli intelektual, pemikir, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan dari 50 negara menghadiri sidang kemuncak yang berlangsung selama empat hari dengan tema ‘Peranan Pembangunan dalam mencapai Kedaulatan Nasional.