Hoki : Malaysia menang 4-2 ke atas New Zealand

Hoki : Malaysia menang 4-2 ke atas New Zealand

Selepas tewas berturut-turut dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad hoki lelaki negara akhirnya berjaya mencatat kemenangan 4-2 ke atas pasukan nombor sembilan dunia, New Zealand dalam perlawanan ujian terakhir di Stadium Hoki Nasional di sini hari ini.

Dua gol padang menerusi Faizal Saari dan Nik Aiman Nik Rozemi pada suku keempat menyaksikan pasukan bimbingan Roelant Oltmans itu meraih kemenangan penting sebelum kempen Piala Dunia 2018 di Bhubasneswar, India, selepas tumpas 1-2 dan 3-4 kepada pasukan sama dalam dua pertemuan lepas.

Pasukan ‘Speedy Tigers’ terlebih dahulu berada di hadapan pada minit kedua menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim sebelum New Zealand menyamakan kedudukan lapan minit kemudian melalui pukulan sudut penalti Kane Russell.

Pada suku kedua, jaringan gol padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil kembali meletakkan Malaysia di hadapan dan benteng pertahanan kental ditampilkan skuad negara menyaksikan kedudukan 2-1 itu kekal menuju ke suku ketiga perlawanan.

Skuad ‘Black Stick’ bangkit bertenaga di suku keempat dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi gol padang George Muir pada minit ke-46, namun tiga minit kemudian Faizal Saari menyumbat masuk gol ketiga Malaysia sebelum jaringan gol padang Nik Aiman (minit ke-56) memastikan kemenangan 4-2 kepada pasukan tuan rumah.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Oltmans memuji aksi dan usaha anak buahnya yang berjaya mengurangkan kesilapan seperti dilakukan pada dua perlawanan sebelum ini.

“Benteng pertahanan kita beraksi dengan sangat baik…kita tidak benarkan mereka mencipta banyak peluang dan pada masa sama kita memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Secara keseluruhan perlawanan hari ini jauh lebih baik berbanding dua aksi sebelum ini. Saya berpuas hati dengan kemajuan ditunjukkan dalam perlawanan ujian ini. Banyak peningkatan dipamerkan pemain sebelum menghadapi Piala Dunia, dan ia aksi sangat menarik berdepan pasukan seperti New Zealand,” katanya.

Malaysia dijangka berdepan tugas sukar pada kempen Piala Dunia 2018 yang dijadual dari 28 Nov hingga 16 Dis, setelah diundi dalam Kumpulan D bersama-sama tiga bekas juara dunia – Pakistan, Belanda dan Jerman.

Dalam saingan Piala Dunia sebelum ini di The Hague, Belanda pada 2014, Malaysia menamatkan cabaran di kedudukan tercorot daripada 12 pasukan yang bersaing di kejohanan berkenaan.

— BERNAMA