Malaysia Dateline

‘Home Assessment Tools’ di aplikasi SELangkah diiktiraf

Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam menyambut baik kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong bertajuk “Strategi Baru bagi Mengurangkan Lonjakan Kes Covid-19 di Lembah Klang” bertarikh 24 Julai 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ini suatu pengiktirafan terhadap inisiatif ‘Home Assessment Tools’ (HAT) dan aplikasi SELangkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hasil saranan Selangor Task Force Covid-19 (STFC).

Pengiktirafan ini katanya sangat bermakna untuk kerajaan negeri meneruskan program-program inisiatif bagi melengkapi usaha Kerajaan Pusat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang berusaha sehabis baik dalam mengurus dan menangani pandemik Covid-19.

“Sejak Jun 2021, Kerajaan Negeri telah melaksanakan sistem sokongan melalui proses penilaian dan pengurusan kes Covid-19 bagi kategori kes positif tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Pemberian kit HAT (termasuk Pulse Oximeter) dan penggunaan fungsi HAT di aplikasi SELangkah bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di CAC dan PKD serta meringankan beban para petugas barisan hadapan,” katanya.

Fungsi HAT di SELangkah membolehkan pesakit mengemaskini status kesihatan terkini mereka dengan memasukkan keputusan bacaan yang diperoleh daripada Pulse Oximeter beserta simptom yang dialami.

Petugas kesihatan akan memantau keadaan pesakit secara harian dan memastikan rawatan segera diberikan sekiranya perlu.

Kerajaan Negeri berharap agar strategi ini dapat dilaksanakan dengan lancar dengan kerjasama baik dari semua pihak demi memastikan kita akan berjaya mengurangkan lonjakan kes positif dan seterusnya memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini secepat yang mungkin.