Malaysia Dateline

Hormati keputusan inkues Adib, jangan mainkan isu perkauman

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam berhubung inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, disebabkan perbuatan jenayah.

Timbalan Perdana Menteri meminta masyarakat supaya bertenang dan tidak memainkan isu perkauman terhadap keputusan inkues hari ini.

“Ini bukan satu kes rasis, kalau salah tetap salah, bukan kerana orang ini bangsanya apa‚Ķkita semua Malaysia tetapi kita tetap mahukan keadilan untuk arwah Adib.

“Jangan jadikan ia sebagai jenayah berasaskan perkauman…jenayah boleh berlaku melibatkan apa sahaja bangsa Melayu, Cina atau India,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Rahmah (KR19) di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Koroner dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengarahkan polis untuk menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes itu, Dr Wan Azizah berkata, setakat ini pihaknya berpegang kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa polis akan menyemak kembali siasatan kes tersebut.

Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 Nov tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Muhammad Adib, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Dis lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.