Malaysia Dateline

Hormati semangat juang, prinsip dan pendirian Tun M

Semua pihak disarankan supaya menghormati semangat juang yang ada pada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed.

Demikian saranan yang dibuat oleh Ketua Bersatu, Bahagian Gerik, Ayob Abd Rahman.

Ketua Bersatu Bahagian Gerik Ayob Abd Rahman

Menurutnya lagi, setiap pandangan yang dilemparkan oleh Tun Mahathir berupakan nasihat yang harus diterima pakai oleh semua golongan masyarakat.

Ia tidak hanya kepada masyarakat umum dan golongan bawahan, tetapi juga pimpinan dalam komponen Pakatan Harapan (PH) serta kerajaan.

Jelasnya, setiap luahan Perdana Menteri adalah berdasarkan kepada pengalaman dan pengamatan beliau.

“Beliau mempunyai prinsip perjuangan yang tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana golongan.

“Sejak menerajui kepimpinan PH selepas memenangi pilihan raya umum (PRU) pada Mei tahun lalu, beliau telah berkali-kali menyatakan kesediaanya untuk mengembalikan kedudukan negara kepada sistem yang lebih baik jika dibandingkan dengan pemerintahan BN.

“Maka itu semua pihak mesti menghormati polisi yang sedang dirangka dan diimplementasikan oleh beliau demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara,” ujarnya lagi.

Tegas Ayob lagi, pendirian Tun Mahathir untuk tetap menerajui kerusi Perdana Menteri dalam tempoh yang telah dipersetujui dan disepakati sebelum ini harus dihormati oleh semua pihak.

“Tun Mahathir telah membuktikan selama memerintah negara 22 tahun sebelum ini, ia mempunyai prinsip dan pendirian yang tegas dalam beberapa perkara.

“Justeru itu pendirian beliau untuk menerajui kepimpinan negara dan PH dalam tempoh yang telah dinyatakan serta menyerahkan kerusi tersebut kepada penggantinya mestilah dihormati oleh semua pihak.

“Walaupun terdapat pelbagai pandangan yang bersifat pro dan kontra, keputusan yang dibuat oleh Tun Mahathir sebagai seorang negarawan dan paling lama memerintah negara sebagai Perdana Menteri membuktikan ia seorang yang tidak tamak kuasa dan sanggup

berkongsi segala yang ada demi kepentingan rakyat dan juga masa depan negara, ” tambah beliau.