Hormati tugas masing-masing, kata pengarah PKS Kelantan

Hormati tugas masing-masing, kata pengarah PKS Kelantan

 Semua pihak perlu menghormati cara masing-masing dalam menjalankan tugas khasnya di negeri Kelantan yang ditadbir oleh Pas, kata pengarah strategi kerajaan negeri Kelantan.

Wan Nik Wan Yusof, pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan dalam satu tulisan di facebook beliau berkata, menjadi suatu realiti, tugas kerajaan untuk memajukan negeri ada cara bagi kerajaan.

Bahkan, katanya, tugas parti kerajaan pula ada caranya.

Malahan, katanya, tugas parti yang bukan mewakili kerajaan pun ada caranya.

“Apa yang penting, hormat menghormati cara masing-masing, asalkan negeri terus Membangun Bersama Islam,” kata bekas ahli parlimen Bachok itu.

Wan Nik dipercayai merujuk kepada apa yang berlaku di Kelantan sekarang termasuk isu pengambilan tanah di Kampung Laut, Tumpat, kawasan yang diwakili oleh menteri besar Kelantan sendiri, Datuk Ahmad Yakub.

Isu ini telah menjadi panas ekoran bantahan yang dibuat oleh penduduk kerana tanah mereka diambil oleh kerajaan tanpa sebarang rundingan awal antara mereka dengan wakil rakyat.

Yang mereka sedar adalah selepas mereka dipanggil oleh Pejabat Tanah untuk membicarakan nilai pampasan untuk mereka.

Menurut Naib Pengerusi Amanah Kelantan yang juga berasal dari Kampung Laut, Che Ibrahim Mohamad, kerajaan negeri Kelantan tidak berbincang dengan pemilik tanah berkenaan apabila tanah mereka mahu diambil untuk projek pelancongan.

“Adakah patut sebuah Kerajaan Islam yang berhasrat nak ambil tanah rakyat untuk projek pelancongan, pakai terus warta dulu, pahtu keluar notis perbicaraan untuk tentukan pampasan tanpa apa-apa makluman dan perbincangan terlebih dulu dengan tuan-tuan tanah,” tulisnya dalam facebook yang ditagkan nama Wan Nik.

“Kecualilah kalau sekadar mari berbual di kedai kopi atau masjid sembil kuliah,” kata beliau.

Sebelum ini, Malaysia Dateline telah melaporkan keresahan penduduk dengan projek itu kerana ia dibuat tanpa perundingan dengan mereka.

Ekoran itu, menteri besar Datuk Ahmad Yakub telah menjawabnya dengan berkata, kampung berkenaan akan disusun semula mengambil kira pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Kampung Laut beroperasi di tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

TAGS