Malaysia Dateline

Hormati undang-undang, kembali ke meja rundingan

Semua pihak diseru agar kembali ke meja rundingan dan menghormati undang-undang bagi menyelesaikan isu pertikaian di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya.

Ahli Parlimen Kota Raja yang meliputi kawasan berkenaan, Mohamad Sabu berkata, pertikaian yang berlaku di kuil perlu ditangani secara baik dan mengikut proses undang-undang sewajarnya.

“Dengan kebijaksanaan semua pihak yang terlibat, saya yakin perkara ini boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan mengambil langkah terbaik bagi kepentingan semua pihak,” katanya.

Menurut Menteri Petahanan itu, beliau telah dimaklumkan bahawa insiden ini tiada kaitan sama-sekali dengan isu perkauman dan agama.

“Semua pihak perlu bertenang dan bersabar serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat terhadap apa yang berlaku sehingga boleh mewujudkan keresahan di kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan bertulis.

Beliau yakin bahawa pihak keselamatan akan mengambil langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan dan keamanan sentiasa dipelihara.