Malaysia Dateline

Hospital Bachok akan siap mengikut jadual, kata Menteri Kesihatan

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang dewan rakyat hari ini menjelaskan pembinaan Hospital Bachok sedang giat dijalankan mengikut jadual.

Malah status kemajuan kerja kontraktor pembinaan lebih giat dilaksanakan.

“Kemajuan kerja kontraktor sehingga 28 Jun 2018 adalah 37% sebenar berbanding jadual 28% iaitu mendahului jadual sebanyak 9 peratus.

“Pada masa sekarang pihak kontraktor sedang giat melaksanakan kerja struktur dan pemasangan ‘pre-cast slab’ dan ‘beam’,” ujarnya.

Beliau menjawab pertanyaan  lisan yang dikemukakan Nik Mohamad Abduh Nik Aziz (Pas-Bachok) dalam sidang dewan hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, KKM serta Jabatan dan Agensi Kerja Raya komited untuk memastkan Hospital Bachok dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah di tetapkan iaitu dijangka siap pada 21 September 2019 nanti.

Hospital Bachok adalah antara projek Barisan Nasional (BN) di Kelantan yang dibina dengan anggaran RM140juta.

Projek di atas tapak seluas 20 hektar di Kampung Bator, Jelawat tersebut bermula sejak September 2017 dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun iaitu menjelang September 2019.

Hospital Bachok dijadual beroperasi dengan 76 katil di peringkat permulaan dan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 800,000 penduduk di sekitar Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu.