Malaysia Dateline

Hospital baharu mudahkan 40,000 penduduk Lawas

Baru melakukan simbolik Perasmian Pelancaran Projek Hospital Lawas di Sarawak semalam.

Selepas 50 tahun menanti, akhirnya 40,000 penduduk di Lawas, Sarawak bakal menikmati kemudahan perkhidmatan kesihatan apabila siapnya sebuah hospital baru di daerah terbabit nanti.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, projek yang bernilai RM175 juta itu dijangka siap pada 2023 sekali gus mampu menyelesaikan kesulitan dihadapi penduduk sejak 50 tahun lalu.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab mengatasi masalah penduduk pedalaman di Lawas dengan membina hospital baharu sekali gus membuktikan komitmen menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat di sini.

“Inilah harapan kerajaan agar rakyat di negara ini khususnya di kawasan pedalaman mendapat akses kemudahan kesihatan yang sempurna.

“Maka, apabila siapnya hospital baharu ini nanti bakal memudahkan seramai 40,000 penduduk dan masyarakat di sini,” jelas beliau ketka berucap pada Majlis Pelancaran Projek Hospital Lawas semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Zairul Azidin Badri, Timbalan Setiausaha Kementerian Kesihatan Ahmad Nafiz Halim, Penguasa Kanan yang juga Pengarah Kerja Kesihatan Azman Md Hashim, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Paul Sazin Riget dan Pengarah Hospital Lawas Dr Ahmad Helmi.

Baru yang juga merupakan Ahli Parlimen Selangau dan Ahli Dewan Undangan Negetri (Adun) Ba’Kelalan menegaskan, adalah menjadi keutamaan kerajaan agar rakyat dapat menikmati kemudahan pembangunan infrastruktur moden dan selesa.

Justeru,tambahnya projek Hospital Lawas adalah salah satu keutamaan kerana ia tergendala sejak 2015 yang melibatkan proses tender bermula rundingan terus, tender terhad dan sebagainya,

“Hospital baharu ini berkeluasan lebih 20,000 meter persegi bakal memuatkan 76 katil termasuk wad lelaki, wanita, kanak-kanak, pentadbiran, hemodialisis, bilik bersalin, mayat, tabung darah, unit patologi, bilik X-ray dan kaferia.

“Manakala fasa ketiga projek melibatkan pembinaan dan kerja-kerja berkaitan yang akan dilaksanakan dalam reka bentuk dan pembinaan serta prakelayakan bagi tender terbuka dan kerja bermula Februari tahun depan dan siap 2023,” katanya lagi.

Pada masa sama, tambahnya kementerian yang diterajui beliau turut berjaya mendapatkan dana dan kelulusan menaik taraf Klinik Long Sukang dan kini pembinaan sedang dijalankan dengan baik.

“Sehubungan itu, saya amat berharap semoga apabila siapnya segala kemudahan infrastruktur itu dan Hospital Lawas nanti, penduduk di sini mampu menikmati kemudahan moden dan kualiti perkhidmatan kesihatan terbaik,” ujar Baru.