Malaysia Dateline

Hospital di Sarawak kritikal, kata Pengarah Kesihatan negeri

Sistem penjagaan kesihatan hospital di Sarawak ketika ini pada tahap kritikal berikutan jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat di negeri ini.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing, ketika ini katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di empat hospital utama kerajaan sudah penuh.

Jelas beliau, para doktor telah bertungkus lumus setiap hari untuk menukar alat bantuan pernafasan atau katil-katil di ICU bagi memastikan pesakit yang seterusnya dapat dirawat.

“Selain katil, peralatan alat bantuan pernafasan di empat hospital utama turut tidak mencukupi memandangkan keadaan di Sarawak sekarang amat meruncing.

“Dan ketika ini kita dalam krisis dan amat merayu kepada semua rakyat memainkan peranan serta tolong tinggal di rumah.

“Ini kerana, kita perlu memutuskan jangkitan dengan segera. Jika tidak 10 hingga 20 peratus kes positif perlu dimasukkan ke wad dan lima hingga 10 peratus akan memerlukan rawatan di ICU,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tegas Dr Chin, jika terdapat 1,000 pesakit, maka 10 peratus atau 100 orang akan memerlurkan 100 katil di ICU pada masa ini.

“Justeru, sistem penjagaan kesihatan hospital di Sarawak sekarang pada tahap kritikal kerana situasi dihadapi ini sangat berbeza berbanding tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya membantu pasukan kesihatan dengan tinggal di rumah bersama dalam lingkungan keluarga masing-masing, dan segera melakukan saringan kesihatan sekiranya mengalami gejala atau terdedah kepada orang di sekitarnya mahupun kluster sedia ada.