Semua pesakit Covid-19 yang sedang dikuarantin di Hospital Melaka dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.
Kerajaan negeri mengambil keputusan itu selepas berlaku kesesakan pesakit di hospital berkenaan sehingga tidak lagi mampu menampung jumlah yang ramai.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata semalam sahaja, seramai 12 pesakit sudah di hantar ke PKRC dan jumlah itu akan meningkat jika berlaku lagi pertambahan kes di negeri ini.
“Untuk hari ini (semalam) kita sudah menghantar 12 pesakit ke PKRC kerana Hospital Melaka sudah penuh dan tidak mampu lagi menampung jumlah pesakit COVID-19.
“Situasi ini akan berlanjutan sekiranya kita menerima lebih banyak kes positif baharu,” lapor BH hari ini.
Rahmad berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras PKRC negeri, semalam yang dianggotai Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri Melaka dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Jelasnya, semua pesakit yang dihantar ke PKRC hanya membabitkan orang awam yang disahkan positif pandemik tersebut.
Semalam, terdapat 399 kes pesakit Covid-19 masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC termasuk lima orang di ICU.
Lagi 50 kes positif Covid-19 dicatatkan di Melaka semalam dengan 19 kes dari kluster sedia ada, 15 kes kluster baharu (Teknologi Kesidang), saringan kontak rapat (13) dan lain-lain saringan (3).