Malaysia Dateline

Hospital Umum Sarawak  mohon cari waris pesakit

Hospital Umum Sarawak (HUS) memohon bantuan orang ramai bagi mengesan ahli keluarga atau waris kepada pesakit tanpa pengenalan diri yang bernama Zaidi Abdullah anggaran usia lewat 40-an, yang kini berada di Wad Ortopedik Lelaki, HUS.

Melalui kenyataan yang diterima daripada HUS, pesakit telah dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HUS pada 15 November 2019 oleh ambulans selepas dijumpai orang awam di dalam longkang di kawasan Kota Sentosa dalam keadaan separuh sedar setelah mengalami kecederaan dan patah tulang pinggul.

Menurut HUS, pesakit menyatakan beliau mempunyai saudara bernama Lily ak Malong yang dipercayai berada di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya, Kuching.

Setakat ini pihak hospital tiada maklumat lanjut berhubung ahli keluarga dan latar belakang pesakit. Maklumat perubatan keluarga amat diperlukan bagi pihak hospital merancang intervensi rawatan selanjutnya ke atas pesakit ini.

Sehubungan itu, pihak HUS mohon jasa baik orang ramai yang mengenali pesakit atau warisnya agar segera menghubungi Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Umum Sarawak Kuching, Puan Nor-Asmawati Mohd Ali di talian 082-276793 atau 082-276666 samb. 4375 ATAU waris dimohon datang ke Wad Ortopedik Lelaki, Hospital Umum Sarawak.