Malaysia Dateline

Hotel Four Point Sandakan pula ditutup

Hotel Four Points by Sheraton Sandakan mengumumkan penamatan operasinya ekoran masalah kemerosotan ekonomi disebabkan kekurangan permintaan produk dan servis di sektor perhotelan.

Pengurus Besarnya, David Scully berkata, berikutan penutupan tersebut, para pekerja juga akan ditamatkan perkhidmatannya mulai 31 Mei ini.

Jelasnya, pihak majikan telah pun membuat langkah langkah awal mencari alternatif untuk mengurangkan kesan kerugian perniagaan seperti pemberhentian pekerjaan sementara kepada pekerja.

Namun, usaha tersebut masih membebankan pihak syarikat dan mengakibatkan pemberhentian pekerja disebabkan oleh penutupan hotel.

“Penamatan ini tidak berkaitan dengan prestasi individu pekerja.

“Pihak pengurusan hotel akan menghubungi anda untuk mengatur perjumpaan mengikut jadual dalam waktu dekat sebelum tarikh tutup hotel.

“Semasa perjumpaan ini, anda akan diberitahu mengenal faedah penamatan, dan faedah dari Sistem Insurans Pekerja yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya dalam satu kenyataan kepada kakitangannya yang dilihat oleh Malaysia Dateline.

Walaubagaimana pun, pihak hotel memberi jaminan bahawa pekerja akan dibayar baki cuti tahunan, faedah pemberhentian kerja dan juga pembayaran notis penamatan kerja berdasarkan Ordinan Buruh Sabah (CAP. 67).

Terdahulu, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beberapa buah hotel di beberapa buah negeri terpaksa menamatkan operasi mereka akibat masalah kewangan yang dihadapi pihak syarikat perhotelan.

Pada awal bulan April yang lalu, kira-kira 140 pekerja Tower Regency Hotel & Apartments di Ipoh kehilangan pekerjaan mereka susulan penutupan operasinya pada 30 April.

Memo dalaman hotel itu mendakwa bahawa sejak tiga tahun lalu, Tower Regency menanggung kerugian berjuta-juta ringgit dalam cubaan bertahan dalam perniagaan, selain menambah bahawa wabak Covid-19 telah memburukkan keadaan semasa hotel.

Kinta Riverfront Hotel and Suites turut ditutup secara kekal kerana masalah kewangan.

Hotel ini ditutup pada 30 April dan merupakan yang kedua untuk mengumumkan penutupan di Ipoh, setelah Tower Regency Hotel and Apartment Sdn Bhd mengumumkan penutupannya awal bulan ini.

Pada 28 April pula, Hotel lima bintang iaitu Hotel Ramada Melaka yang beroperasi hampir 40 tahun mengumumkan bakal ditutup sepenuhnya pada Jun ini berikutan krisis pandemik Covid-19.

Perkara itu dinyatakan dalam satu surat yang ditandatangani pengarah Hotel Ramada dan ditujukan kepada kesatuan kebangsaan pekerja- pekerja hotel, bar dan restoran.