Malaysia Dateline

Hotel Four Points: Ramai anak muda hilang sumber pendapatan

Hotel Four Points by Sheraton Sandakan akan menutup operasinya bermula hari ini, 1 Jun 2020. Tepat selepas lapan tahun ia beroperasi pada Mei 2012 dan semenjak itu ia menjadi mercu tanda kepada pemodenan bandar lama Sandakan yang merupakan satu-satunya merupakan hotel bertaraf empat bintang di Pantai Timur Sabah. Dengan bangunan setinggi 27 tingkat dan 299 buah bilik, ia adalah hotel kedua terbesar di Sabah.

Bangunan hotel yang berhubung dengan pusat membeli belah ini adalah bangunan tertinggi di Sandakan yang terbina gah menghadap Laut Sulu. Tapak bangunan ini merupakan kawasan laut yang ditambak bagi pembinaan beberapa buah deretan bangunan baharu menggantikan Pasar Besar Sandakan dan pelabuhan lama.

Penutupan hotel ini berlaku hanya selepas beberapa bulan Hypermarket Giant, juga sebuah pasaraya yang terbesar di Pantai Timur Sabah menutup operasinya. Ia mengulangi sejarah penutupan Yaohan pada awal 90-an yang merupakan pasaraya besar pertama di daerah ini.

Penamatan operasi Hotel Four Points ini mengakibatkan kehilangan pekerjaan kepada pekerja-pekerjanya. Ramai dalam kalangan pekerja adalah anak muda yang bertugas sebagai tukang masak, penyambut tetamu, pembersih dan tenaga logistik lainnya akan kehilangan sumber pendapatan. Hampir kesemua mereka adalah anak tempatan Sandakan.

Kemeruduman jumlah tetamu dikatakan menjadi punca utama kepada keputusan akhir pengurusan hotel menamatkan operasi. Keadaan ini juga memberi kesan besar kepada beberapa buah hotel di daerah Sandakan dan beberapa buah sedang menanti waktu untuk mengikuti nasib Hotel Four Points.

Sektor ekonomi yang bersangkutan seperti bas pelancong, restoran makanan laut, kedai cenderamata dan sebagainya sedang berada di dalam keadaan kritikal. Jika tiada pemulihan segera di dalam sektor pelancongan, dijangkakan kesemuanya akan menerima impak yang buruk.

Selepas ini tiada lagi gemerlapan cahaya menerangi bangunan ini yang boleh dinikmati dari laut, menambah muram bandar lama Sandakan yang sedia suram. Hanya suara pukulan ombak menghempas tembok batu akan menemani bangunan yang ditinggalkan.