Malaysia Dateline

Hotel Seri Malaysia sasar tembusi pasaran Eropah Timur

Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd (RHSM) menyasarkan untuk mengembangkan perkhidmatan hospitalitinya ke pasaran baharu terutama Eropah Timur yang dijangka dapat dimulakan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

Pengerusinya, Badrul Hassan Mohamed Kassim berkata pihaknya kini berbincang dengan beberapa pemilik hotel bertaraf tiga bintang di Istanbul, Turki dan Sarajevo di Bosnia Herzegovina bagi tujuan mengambil alih hotel atau menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan.

“Kita seboleh-bolehnya mahu mencapai persetujuan (dan memuktamadkan kerjasama) bagi membolehkan usaha itu dapat dimulakan secepat mungkin.

“Kita menyasarkan hotel bertaraf tiga bintang dan kedua-dua destinasi iaitu Istanbul dan Sarajevo adalah pintu masuk untuk syarikat ini mengembangkan perniagaan ke Eropah Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara RHSM dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), di sini hari ini.

MoU itu bertujuan mengukuhkan program kolaborasi antara kedua-dua pihak selain memberi peluang untuk RHSM melebarkan jenama Hotel Seri Malaysia dalam kalangan usahawan dan ahli DPIM selain bagi tujuan penjenamaan semula produk dan perkhidmatan ditawarkan RHSM.

Pada masa ini, RHSM memiliki 21 cawangan hotel merangkumi 2,000 bilik penginapan di serata negara.

Selain itu, Badrul Hassan berkata pihaknya kini dalam proses penambahbaikan perkhidmatan rangkaian hotel tersebut selain melaksanakan penyusunan pelan strategik pemasaran bagi hotel itu, tahun ini.

Hotel Seri Malaysia merupakan rangkaian hotel kelas sederhana tempatan terbesar yang ditubuhkan pada 1994, didorong oleh inisiatif kerajaan bagi mempertingkat pertumbuhan industri pelancongan tempatan.– BERNAMA