Malaysia Dateline

Howard akan teruskan perjuangan Allahyarham Shazni

Howard Lee Chuan How menyifatkan pelantikan beliau sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang baharu sebagai pelantikan yang cukup mencabar serta amanahnya cukup berat.

Sebagai ketua setiausaha pengasas Pemuda PH yang telah menyandang jawatan kanan semenjak penubuhannya, Howard berkata, beliau memahami cabaran yang terlibat.

Bercakap kepada Roketkini, Ketua DAPSY Kebangsaan itu berkata, beliau juga memahami bahawa beliau tidak akan menyandang jawatan itu lama.

Namun begitu tambahnya, beliau berhasrat untuk meneruskan perjuangan Allahyarham Shazni Munir Mohd. Ithnin serta ketua-ketua sebelum ini.

“Saya akan pegang kepada doktrin bahawasanya Ketua Pemuda PH adalah ‘Primus inter Pares’ atau Utama antara sedarjat.

“Semua Timbalan Ketua sayap akan dianggap setara saya selaku ketua.

“Objektif pertama dan utama saya adalah untuk memanggil pertemuan kesemua empat sayap Pemuda PH, dan kemudiannya semua sayap pemuda parti pembangkang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Howard ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji.

Majlis Presiden PH dalam mesyuarat semalam memutuskan untuk membuat pelantikan-pelantikan baharu iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Ketua Setiausaha PH dan Howard (Ketua Pemuda PH).

Selain itu, Aiman Athirah dilantik Ketua Wanita PH; Datuk Seri Salahuddin Ayub dilantik Pengarah Strategi PH, Anthony Loke (Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH) dan Pengarah Komunikasi PH (Fahmi Fadzil).