Malaysia Dateline

HSR: Malaysia belum serah notis penuh kepada Singapura

Tun Dr Mahathir Mohamad

Malaysia masih belum menyerahkan notis atau makluman penuh kepada Singapura berhubung keputusannya bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Merujuk kepada kerajaan Singapura, kita masih belum menyerahkan sebarang notis penuh (kepada mereka). Namun mereka sedia maklum apa yang kita mahu lakukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan oleh Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, semalam bahawa Singapura masih menunggu jawapan balas rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek mega berkenaan.

Republik berkenaan pada 1 Jun lepas, telah meminta Kerajaan Malaysia, menerusi saluran diplomatik untuk mengesahkan pendiriannya terhadap projek tersebut.