Malaysia Dateline

Hubungan ‘Amerika-Saudi-Israel’ implikasi terhadap Malaysia

ULASAN: Tindakan biadap Amerika Syarikat memindah kedutaannya ke Baitulmaqdis menerima kecaman hebat daripada Presiden Jokowi serta banyak pemimpin Negara Islam lain, tetapi Datuk Seri Mohd Najib Razak mengambil masa untuk berbuat demikian kerana terlalu sibuk dengan Perhimpunan Agung Umno.

Adakah beliau teragak agak membuat kenyataan awal dalam isu ini kerana ingin menjaga hati sahabatnya Presiden Donald Trump? Sikap lambat membuat kenyataan menjadi tanda soal rakyat kepada pemimpin yang takut membuat pendirian untuk kepentingan umum.

Amat menghairankan pendirian awal Malaysia yang begitu lambat dan tidak bermaya dalam isu Palestin ini. Ia seolah olah menunggu kenyataan negara lain sebelum Najib membuat kenyataan.

Apabila ia melibatkan maruah Baitulmaqdis di mana Masjidil Al Aqsa berada, pendirian yang tegas bersegera amat diperlukan.
Kenapa Najib tidak membuat kecaman yang keras terhadap tindakan Presiden Trump apabila pemimpin negara negara barat lain termasuk Pope dari Vatican city pun mengutuk hebat tindakan tersebut?

Adakah persahabatan Trump lebih penting kepada Najib dari maruah dan nasib orang Islam serta Masjid Al Aqsa? Adakah kita sudah menjadi budak suruhan Amerika?

Dunia Islam dan Barat mengkritik sikap Negara Arab Saudi dalam isu ini dimana ianya kelihatan memainkan peranan mengiakan serta bersekongkol dengan Amerika dan Israel.

Keakraban Saudi dan Amerika telah lama di ketahui dan pengakuan Mentri kanan Israel tentang hubungan rapat Israel dan Arab Saudi baru baru ini memberi gambaran sebenarnya senario politik timur tengah semasa.

Sebagai penjaga rasmi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Kerajaan Arab Saudi sepatutnya memastikan kesucian masjid ketigaterpenting dalam dunia Islam- Masjid Al Aqsa di peliharai juga dan bukannya “berada di ibu Negara Israel” seperti di tentukan oleh Amerika. Tiadanya bantahan atau kecaman keras dari Arab Saudi seolah olah ianya merestui tindakan ini.

Datuk Seri Mohd Najib Razak (kiri) dan Perdana Mener AS Donald Trump

Apabila banyak tokoh Islam mencadangkan bantahan juga di adakan di kedutaan Arab Saudi, Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin menganggap ia tindakan tidak munasabah dan keterlaluan.

Kalau seluruh dunia nampak peranan dan sikap Arab Saudi dalam isu Palestin ini, mustahil Menteri Belia dan Sukan ini tidak memahami senario sebenarnya dan berpura-pura keliru.

Bumi Palestin dan Masjid Al Aqsa adalah maruah seluruh umat Islam dan tanggung jawap seluruh dunia Islam mempertahankan kesuciannya. Disinilah tempatnya Nabi Muhammad s.a.w naik kelangit. Pemeliharaan kesuciaannya mengatasi segala kepentingsn politik dan duniawi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamudin Hussein telah mengumumkan Malaysia bersedia untuk menghantar tentera kita ke Baitul Maqdis. Kenyataan ini telah menimbulkan kritikan dari bekas Jeneral tentera kita dan bekas Duta serta pegawai diplomat. Pertubuhan Bangsa bangsa bersatu- PBB, sepatutnya menetapkan perkara ini melainkan Malaysia telah membuat perancangan secara terus dengan Israel !

Soalannya, mengapakah Malaysia beriaia sangat ingin melibatkan diri di Timur Tengah tanpa merujuk kepada Parlimen seperti juga penglibatan kita dalam serangan keatas Yaman ?

Sedarkah Menteri jika tentera kita bertugas di Baitul Maqdis mereka akan berhadapan dengan demonstrasi rakyat Palestin yang sebahagian besarnya adalah beragama Islam. Kita akan berada dibawah arahan perintah tentera Israel. Dengan sikap terbuktinya ganas tentera Israel dengan sokongan Amerika Syarikat-AS, rusuhan sering berlaku. Sanggup kah kita meletakkan tentera kita dalam situasi akan bertempur dengan saudara Palestin Islam kita dimana tentera Israel sering melepaskan tembakan ? Ini adalah implikasi yang amat serius dan menyedihkan.

Cukuplah sudah dengan kita terlibat dan bersekongkol didalam sekutu Arab Saudi bersama Amerika Syarikat menyerang rakyat miskin Yaman. Ramai anggota tentera kita tersiksa trauma dalam perang haram Yaman yang melibatkan pengeboman dewan orang awam Islam dan hospital seperti terkandung dalam lapuran setebal 241 muka kepada PBB- 31 hb Januari . Cukup sudah kita jadi budak suruhan Amerika dan Arab Saudi. Hubungan rapat Arab Saudi dengan Israel adalah jelas hari ini dan bukan lagi rahsia apalagi dengan pengakuan seorang Menteri kanan Israel.

Persahabatan “akrab” Dato Najib dengan Raja Saudi serta Presiden Amerika tidak harus mempengaruhi dasar polisi Negara. Kita mesti kembali menjadi negara rakyat Islam yang bermaruah dan dihormati seperti dahulu dan bukan menjadi budak suruhan Raja Salman Saudi dan Presiden Trump dari Amerika Syarikat.

Adakah hubungan rapat Dato Najib dengan Presiden Trump dan Raja Saudi akan mengheret Malaysia ke arah “persefahaman” dengan Israel juga?

Kembalikanlah maruah Negara dan rakyat Malaysia supaya menjadi sebuah negara berdaulat.

Penulis Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parliman Kuala Terengganu