Hubungan baik dengan Pusat manfaatkan Kelantan – Exco

Hubungan baik dengan Pusat manfaatkan Kelantan – Exco

Kelantan mendapat manfaat besar hasil hubungan yang bertambah baik dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak tiga tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Infrastruktur Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad berkata Kelantan mendapat manfaat selepas Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) bersetuju membantu kerajaan negeri pimpinan PAS menerusi tiga projek yang sedang dilaksanakan.

“Projek itu adalah pembinaan Lebuh Raya Kota Baharu-Kuala Krai, migrasi air Kelantan dan kenaikan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini.

Kita menerima peruntukan berjumlah RM550 juta bagi menaik taraf lapangan terbang sedia ada dan usahasama ini diharap membantu melancarkan program pembangunan di Kelantan sekali gus memberi peluang kepada rakyat menikmati kemudahan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan yang bermula Isnin dan ditangguhkan hari ini di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memberi fokus kepada potensi pangkalan bekalan di Tok Bali, Pasir Puteh yang mampu dijadikan nadi pembangunan di kawasan berkenaan.

TAGS