Malaysia Dateline

Hubungan dengan Anwar mesti dipertahankan, kata AMANAH

Presiden AMANAH Mohamad Sabu menegaskan hubungan AMANAH dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah dibina sejak 20 tahun yang lalu mesti dipertahankan.

Bagaimanapun menurut Mohamad di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing-masing ianya perlu diperbaiki.

“Begitu jugalah di dalam Pakatan Harapan yang menggabungkan tiga parti iaitu AMANAH, DAP dan PKR.

“Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan.

“Dalam masa yang sama kita sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan. Inilah sikap saya,”katanya.

Hal yang sama berlaku dalam perhubungan Mohamad dengan Tun Dr Mahathir apabila ada suara menasihatkannya untuk meninggalkan Tun Mahathir dan menghentam beliau, Mohamad katakan tidak.

“Kita telah bekerjasama dengan beliau, sama-sama sepentas melawan kerajaan Kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali di antara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau,” ujarnya.

Ketika berlawan dengan BN yang dipimpin oleh Dr Mahathir sebelum ini, beliau bersungguh-sungguh berlawan sehingga ditahan di bawah Akta ISA sebanyak dua kali, namun setelah bekas perdana menteri itu menubuhkan Gerakan Selamatkan Malaysia untuk melawan BN pimpinan Najib Tun Razak AMANAH menghulurkan tangan untuk bekerjasama.

“Maka kita terus bekerjasama dan bergabung di bawah Pakatan Harapan.

“Kerja keras yang kita lakukan telah berjaya di dalam pilihanraya yang lalu dan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018,” katanya.

Katanya, apabila AMANAH bergabung ianya sukar untuk berpisah malah sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ianya membuahkan kejayaan.

“Begitu jugalah halnya apabila kita bekerjasama dengan PKR pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Di dalam kerjasama ini, setiap orang ada kelebihan dan kelemahan. Tetapi apabila kita sudah bergabung amat sukar untuk berpisah disebabkan lamanya perhubungan sesama kita dan kesamaan titik perjuangan,’ katanya.

Pada pengundian undi belah bahagi Belanjawan 2021 Khamis lalu, hanya 13 orang sahaja Ahli Parlimen Pembangkang yang bangun menolak belanjawan itu menyebabkan ia diluluskan.

Sehubungan itu, Anwar Ibrahim mengaku telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang untuk mengarahkan agar tidak menyokong dan menolak cadangan undi belah bahagi dalam Dewan Rakyat.