Hubungan dengan PKR: Pas Selangor tunggu keputusan majlis syura ulamak

Hubungan dengan PKR: Pas Selangor tunggu keputusan majlis syura ulamak

Pas Selangor akan menunggu keputusan muktamad daripada Majlis Syura Ulamak (MSU) berhubung tahaluf siyasi dengan PKR.

Bendahari Pas Selangor Zaidy Abdul Talib berkata, sementara menunggu keputusan MSU, hubungan dengan PKR masih berjalan seperti biasa.

“Sehingga kini, hubungan Pas-PKR masih ada dan berlangsung seperti biasa. Tiada apa-apa perubahan,” katanya dalam kenyataan.

Exco kerajaan negeri Selangor itu juga menegaskan, Pas Selangor akan patuh kepada apa sahaja keputusan MSU.

“Kepimpinan dan perwakilan dari Selangor berdiri teguh di belakang Pas Pusat, termasuk majlis syura.

“Kami akan patuhi apa-apa jua keputusan yang dibuat. Jika kami diminta bergerak ke hadapan, kami akan bergerak ke hadapan dan jika diminta berundur, kami akan berbuat demikian,” katanya.

Ahad lalu, muktamar menerima usul bagi memutuskan tahaluf siyasi antara Pas dengan PKR tertakluk kepada keputusan MSU berdasarkan perlembagaan Pas.

Usul tersebut dibentang oleh AJK Dewan Ulamak Pas Pusat Zulkifli Ismail yang mewakili 23 Pas kawasan dan Dewan Ulamak Pas Pusat serta Dewan Pemuda Pas Malaysia.

COMMENTS

Wordpress (0)