Hubungan Mahathir-Anwar: Apa istimewanya PRK Port Dickson?

Ahmad Lutfi OthmanPerdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melanggar kebiasaannya dengan turun berkempen untuk memenangkan Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson, malam 8 Oktober lalu.

Sebelum itu, Mahathir sendiri mengumumkan, walaupun beliau menyokong Ketua Umum PKR itu, tetapi tidaklah sampai turut membantu berceramah. Dan ia suatu tradisi buat seorang perdana menteri.

Mungkin untuk meredakan gosip liar yang tidak berkesudahan tentang hubungannya dengan Anwar, dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini, Mahathir memaklumkan akan bersama berkongsi pentas.

Sejarah pembabitan Mahathir dalam pilihan raya kecil tersekat apabila calon BN kalah teruk di Johor Bahru pada 1988 di tangan penyandang, yakni calon bebas berlambang kunci, Shahrir Abdul Samad.

Senario politik 1988 bergolak hebat ekoran pemilihan Umno, April 1987, yang menyaksikan Mahathir menang tipis jawatan presiden dalam pertembungan sengit Team A dan Team B. Diikuti kes pengharaman Umno oleh mahkamah, penahanan ISA besar-besaran di bawah Operasi Lalang, penggantungan akhbar, krisis kehakiman.

Saya mengikuti ceramah Mahathir itu melalui siaran langsung radio, pada suatu malam, semasa menyiapkan kerja di pejabat kekanda saya, Dinsman, di Plaza Pekeling, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Shahrir yang rapat dengan musuh politik Mahathir, Musa Hitam, sengaja meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen sebagai tanda protes kepada perdana menteri berikutan krisis kehakiman terburuk, apabila Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dibawa ke hadapan tribunal untuk dipecat.

Saya pastinya sebagai penyokong kuat Pas waktu itu, bersetuju dengan aksi protes Shahrir, sambil mengharapkan beliau bukan sahaja menang, tapi dengan majoriti lebih besar. Walaupun turut bertanding, calon pembangkang PSRM, Abdul Razak Ahmad, tumpuan tertumpu kepada Shahrir.

Tikaman berbisa buat Mahathir tidak terhenti dengan kekalahan BN, Shahrir meneruskan protes terbukanya. Beliau enggan mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Rakyat, kerana Tan Sri Zahir Ismail merupakan salah seorang daripada enam anggota tribunal yang memperakukan Salleh dipecat.

Justeru, kehadiran Mahathir sepentas dengan bekas seteru politiknya di Port Dickson itu, mempunyai keunikan tersendiri. Ia bukan sangat difaktorkan untuk membantu Anwar meraih kemenangan, tetapi mempamerkan kembali keserasian “hubungan bapa-anak” dan lebih penting, memaknai ketetapan konvensyen Pakatan Harapan, 17 Januari 2017.

Rasanya tidak ada pihak yang berani menduga Anwar boleh kecundang di PD, apatah lagi pembangkang utama Umno-BN pun dari awal lagi sudah mengangkat bendera putih. Sedikit saingan yang mungkin dapat mencuri undi adalah calon Pas dan seorang dari lima calon bebas, Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Soalnya, mengapa khabar angin masih terus bertiup kencang meskipun berkali-kali Mahathir memberi jaminan bahawa beliau tetap berpegang kepada kesepakatan PH, Anwar penggantinya sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ada pihak merujuk kepada sosok dua negarawan ulung ini. Masing-masing mempunyai karisma dan penampilan tersendiri yang dikagumi. Ada pengikut tegar yang ramai. Ya, bukan mudah menubuhkan parti baharu hanya disebabkan personaliti pengasasnya, tetapi Mahathir dan Anwar mampu melakukannya.

Sebahagian lagi mengimbau kisah perseteruan mereka pada 1998. Siapa menjangka, jalinan hubungan yang awalnya akrab dan intim, bermula penyertaan mengejut Anwar ke dalam Umno sejurus sebelum PRU1982, sehingga dicemburui teman-teman dekat Mahathir, telan bertukar menjadi musuh. Bukan sekadar lawan biasa tetapi seteru ketat yang luar biasa perlawanannya.

Berapa banyak korban yang tumpas akibat pertarungan dua jagoan ini. Keringat, air mata, darah. maruah, kehormatan, harga diri, kedudukan, kehilangan pekerjaan, keadilan, demokrasi, kebebasan. Institusi strategik negara, seperti kehakiman, polis, peguam negara, media juga dilibatkan sama. Bukan hanya mata Anwar yang lebam tetapi cahaya keadilan menjadi suram dan pudar.

Ya, semua mengakui, situasi 20 tahun lalu amat berbeda. Regim korup 61 tahun sudah disingkirkan walaupun sebahagian aktor utamanya masih sama. Gabungan parti pemerintah juga berlainan, kini Pakatan Harapan dengan integriti dan wibawa yang dipupuk, walaupun pengerusinya tetap sama. Majoriti rakyat turut tidak sama lagi.
Mereka kini lebih kritikal, mendambakan perubahan dan tidak takut lagi untuk bersuara menuntut hak. Malaysia pasca 9 Mei 2018 merakamkan “revolusi tanpa darah”, menghumbankan kleptokrat bertaraf global.

Benar, di sana masih ada Mahathir, ada Anwar, ada Daim Zainuddin, seperti juga pada 1998. Namun, mereka kini memikul amanah, tanggungjawab dan harapan besar rakyat untuk memenuhi agenda perubahan. Dan jangan lupa, bergandingan sama tokoh-tokoh baru, seperti Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan tidak lupa Muhyiddin Yassin yang terbuka berani menegur bosnya, Najjb Razak sehingga terpelanting jawatan TPM.

Dan sekurang-kurangnya saya melihat penampilan Mahathir yang berbeda. Awalnya saya beranggapan Mahathir lebih diperlukan untuk menggembleng kekuatan pengundi Melayu khususnya di luar bandar bagi menumbangkan Umno-BN, tetapi selepas membentuk kerajaan baharu, tekadnya untuk membuat perubahan struktural begitu menyerlah. Dia bercakap dengan fasih dalam bahasa reformasi yang dicetuskan Anwar dahulu.

Mahathir diterima awalnya oleh gabungan pembangkang dengan penuh sangsi dan waspada. Rekod 22 tahun sebagai perdana pertama sentiasa dicurigai. Namun, demi hasrat dan cita-cita yang satu, menyelamatkan negara tercinta daripada terjunam ke dalam krisis lebih parah, segala perbedaan dan pengalaman silam dilupakan.

Mahathir turut mengatur langkah mula yang bijaksana. Dia sanggup menemui Anwar di mahkamah dan hadir memberi ucapan di himpunan para refornis, yang masih merah parut luka mereka. Dia rela menjejakkan kaki ke tapak demonstrasi raksasa, Bersih 4 meskipun Mahathir selama ini terkenal dengan sikap memusuhi tunjuk perasaan sejak 1974 lagi. Dia bersama memeriahkan majlis perasmian konvensyen DAP, yang pernah digelarnya parti chauvinis.

Orang politik lazimnya fasih dan petah berpidato. Dahulu Anwar lebih menonjol. Sejak Mahathir bersama PH, ceramahnya menjadi tarikan utama hadirin walaupun intonasinya masih mendatar.

Namun, rakyat mahu lebih daripada itu. Bukan sekadar bicara dan pengakuan lidah. Buang segala hipokrasi. Usah dibiar jarum halus juak-juak yang mencari kesempatan bagi melaga-lagakan dan mengadu-domba. Berhati-hati dengan batu api.

Mahathir pada usia 93 tahun diakui perdana menteri tertua di dunia. Anwar pun sebenarnya sudah lanjut umur untuk memulakan tugas sebagai perdana menteri jika dibandingkan dengan semua penyandang terdahulu, bermula Tunku Abdul Rahman sehingga Najjb Razak. Bermuamalah dan berundinglah cara orang-orang tua.

Ketentuan Allah mengatasi segalanya. Kita hanya meniti atas garis takdir. Ingatlah, Malaysia pasca 9 Mei sudah berbeda. Dan jangan sama sekali remehkan keupayaan rakyat.

Baru-baru ini, rakan baik saya, seorang peguam yang pernah aktif menentang kediktatoran PM ke-4, berbisik, “Mulanya aku masih sangsi dengan Mahathir, tapi kini aku percaya dengan usianya. Dia mahu mengakhiri hayatnya dengan seribu kebaikan. Kalaupun tidak serasi dengan Anwar, dia nampak lebih terbuka dan bertolak ansur. Dia mahu pulihkan kerosakan negara. Perbedaan politik hanya isu kecil baginya. Semua lawan politik dalam Umno, seperti Ku Li, Musa Hitam, Rais Yatim berjaya dijinakkan.”

Sahabat saya itu menambah, “Aku lebih gembira bila Anwar pun kembali bersama Mahathir. Sepatutnya semua aset berpotensi dapat digembleng untuk menjadikan Malaysia lebih adil, indah dan barokah.”

“Aku tertarik dengan istilah yang hang pernah tulis,” ujarnya lagi, “iaitu Malaysia yang menjadi tempat teduh yang selesa buat golongan marhaen dan terpinggir, cukup makan cukup pakai, anak-anak dapat belajar dengan baik, kebajikan orang tua dan orang sakit terjaga.”

Saya tidak mengharapkan Anwar menang besar, seperti impian juru kempennya di PD. Untuk apa dikejar majoriti puluhan ribu. Tokoh sehebat Anwar tidak perlukan kemilau bergemerlapan sebagai penghias sementara. Cukup untuk membawanya ke Parlimen dan bersama keluarga besar Mahathir-PH, demi memantapkan lagi usaha pembaharuan sepenuhnya.

Mahathir pernah kalah dalam PRU1969. Dibuang Umno kemudiannya, hampir ditahan ISA. Menjadi naib presiden Umno pada kedudukan undi nombor tiga sebelum dilantik TPM. Menang tipis presiden, dengan kelebihan hanya 43 undi. Ditolak Umbo Kubang Pasu walaupun bertanding untuk slot perwakilan ke perhimpunan agung. Adakah imej dan wibawa Mahathir terjejas?

Sejuk hati mendengar bicara Anwar dan Mahathir pada malam Isnin itu. Hujan yang turun mendamaikan lagi. Anwar mengakui Mahathir adalah insan terbaik untuk mengemudi negara ketika ini. Mahathir seperti biasa tidak berlebihan dalam menyokong Anwar. Kedua-duanya cukup mengenali, luar dalam, keistimewaan dan kekurangan masing-masing. Dua tiga hari sebelum itu, Daim pun turun berkempen.

Mahathir juga hadir pada kongres PKR 2017, mendengar ucapan Dr Wan Azizah Wan Ismail, walaupun tidak mengangkat sepanduk Anwar PM ke-7 kerana “sibuk mengambil gambar”. Dia mengunjungi kediaman sempit Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, untuk makan malam juadah nasi daging beserta kambing goreng nampla yang disediakan sendiri bekas tahanan ISA sebanyak dua kali pada zaman pemerintahannya itu.

Mahathir juga bergegas menziarahi Anwar di hospital — walaupun tidak dibenarkan untuk mengucapkan terima kasih kerana kesediaan Anwar menerimanya sebagai calon PM jika PH menang PRU14, sejurus konvensyen di Shah Alam, Januari 2018.

Kemuncaknya, Mahathir konsisten daripada awal, berusaha keras mempengaruhi rakan-rakan dalam pembangkang waktu itu, untuk menggunakan hanya satu logo dalam PRU14. Tiada tolak ansur. Malah dia bersedia untuk menerima pakai simbol PKR, parti yang ditubuhkan pada 1999 untuk menumbangkannya dan logo itu ditafsirkan sebagai lebam mata Anwar, mesej tersirat kezaliman Mahathir!

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS